Lelaki miliki mercun bernilai RM83,000 ditahan
Oleh: Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof
BATU PAHAT: Seorang lelaki mengaut keuntungan mudah dengan menjual mercun sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini, namun membawa padah apabila ditahan dalam satu serbuan, Rabu lepas.
Menurut Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 2 (PPMW2), Asisten Komissioner Muhd Zailani Abdullah, berkata, suspek berusia 49 tahun ditahan dalam satu serbuan di daerah ini kira-kira jam 6.30 petang.
“Hasil maklumat orang awam, polis berjaya mengesan seorang lelaki yang disyaki menyimpan sejumlah mercun untuk dijual di pasaran tempatan sempena perayaan Hari Raya Aidilifitri.
“Soal siasat membawa kepada pemeriksaan di sebuah premis dan polis menemui sejumlah 63 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api yang dianggarkan bernilai RM 83,000,” katanya dalam satu kenyataan.
Muhd Zailani menjelaskan, kes disiasat mengikut Akta Bahan Letupan 1957, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara hingga tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-dua sekali.
“Pasukan Polis Marin sentiasa menjalankan operasi bagi mencegah sebarang aktivit jenayah dan pelanggaran undang-undang rentas sempadan.
“Orang ramai dinasihatkan untuk sama-sama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa terutamnya PPMW2 bagi membanteras sebarang bentuk jenayah terutamnya melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam masyarakat maritim,” ujar beliau.
-AGENSI