BATU PAHAT: Seorang lelaki yang berusia 32 tahun ditemui maut dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik rumahnya di Taman Nira, dekat sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah, berkata pihak polis menerima maklumat awam pada jam 4.30 petang menyatakan mangsa mengalami cedera parah dan tidak sedarkan diri.
“Susulan itu, pihak polis segera ke tempat kejadian bagi menyiasat punca kejadian dengan bantuan pasukan forensik daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor. Mangsa ditemui oleh bapanya dalam keadaan terbaring dan berlumuran darah di bilik dalam rumah, dengan beberapa kesan kelaran di leher,” – Ketua Polis Daerah Batu Pahat / Asisten Komisioner Ismail Dollah
ACP Ismail berkata, sebilah pisau turut ditemui berhampiran dengan mangsa dan siasatan awal mendapati, tiada sebarang kesan pecah masuk di dalam rumah ditemui juga tiada barang yang hilang daripada rumah yang berkenaan.
“Mangsa dipercayai baru sahaja kelmarin pulang ke rumah keluarganya di Batu Pahat dari tempat tinggalnya di Kuala Lumpur. Mangsa dipercayai dihantar pulang oleh dua rakannya,” – – Ketua Polis Daerah Batu Pahat / Asisten Komisioner Ismail Dollah
Katanya lagi, kali terakhir ibu dan bapa melihat mangsa adalah pada tengahari semalam ketika mereka mahu keluar bekerja.
“Ketika kejadian, tiada ahli keluarga lain di rumah dan berdasarkan keterangan awal keluarga mengesahkan mangsa ada mengadu mengalami tekanan perasaan dan ada mengambil ubat penenang.
“Pihak Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat dipanggil bagi membantu dan mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya.
Siasatan masih diteruskan dan pihak polis mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut serta proses bedah siasat sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.
Oleh : Arif Ikhwan – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM