Lelaki bersenjatakan kapak serang jemaah masjid
Montreal: Sebuah masjid di Kanada dilaporkan kecoh apabila seorang lelaki yang bersenjatakan kapak dan memiliki semburan yang digunakan untuk menghalau beruang mula menyerang jemaah masjid kelmarin.
Namun, insiden itu tidak menyebabkan kecederaan parah pada jemaah.
Menurut polis, suspek berusia 24 tahun itu terus menyembur jemaah dan memasuki masjid di pekan Mississauga di pinggir Toronto sebelum dia dihalang pengunjung di masjid berkenaan.
Beberapa Jemaah dilaporkan mengalami kecederaan ringan akibat terkena semburan terbabit dan polis kemudiannya tiba untuk menahan suspek.
Penyembur beruang boleh mengakibatkan kesukaran bernafas dan penglihatan menjadi terhad.
Polis turut memaklumkan dalam satu kenyataan, insiden ini disifatkan sebagai kes terpencil dan bermotifkan jenayah kebencian.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau menerusi Twitter mengutuk serangan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘amat mengganggu’.
“Semua tindakan keganasan tidak akan pernah mendapat tempat di Kanada dan serangan yang berlaku adalag sangat tidak wajar,” katanya.
Beberapa pemimpin lain turut menyelar serangan itu termasuk Datuk Bandar Toronto dan Ketua Menteri Ontario.
Selain itu, imam masjid tersebut, Ibrahim Hindy memuji keberanian jemaah menumpaskan suspek.
“Komuniti Islam tidak akan pernah menjadi lemah dan kami tidak mahu ditakut-takutkan oleh pihak tidak bertanggungjawab,’ ujarnya.
Di Ontario, seorang lelaki sengaja melanggar lari satu keluarga yang berasal dari Pakistan pada Jun tahun lalu.
Rentetan daripada insiden itu menyebabkan empat terbunuh dan polis mengklasifikasikannya sebagai kes Islamofobia.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today