Lebih 9,000 kes sakit mental di Perak

IPOH : Sebanyak 80 kes individu membunuh diri direkodkan di Perak sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu sehingga Julai tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, berkata jumlah itu berdasarkan statistik dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, antara faktor kepada tindakan bunuh diri yang direkodkan adalah membabitkan kes tekanan jiwa (33), tidak diketahui punca (24), masalah kewangan (13), penyakit (4) dan masing-masing tiga kes masalah dadah dan sakit mental.
“Jika dipecahkan mengikut komposisi kaum, kaum Cina adalah tertinggi iaitu seramai 32 orang, diikuti India (29), lain-lain (11) dan Melayu lapan orang.
“Jantina lelaki adalah yang tertinggi iaitu seramai 66 orang dan perempuan ialah 14 orang,” katanya.
Wan Norashikin berkata, manakala mengikut statistik diperolehi daripada Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak, sejumlah 9,772 kes pesakit mental didaftar dan mendapat rawatan di klinik susulan rawatan pesakit mental di klinik kesihatan kerajaan.
“Sebanyak 5,213 kes pesakit mental didaftar pada sepanjang tahun lalu dan sebanyak 4,559 kes pesakit mental didaftarkan bermula awal tahun ini sehingga Jun lalu,” katanya.
Justeru, beliau berkata, pelbagai langkah pencegahan yang diambil oleh kerajaan negeri membabitkan kerjasama bukan sahaja dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), namun membabitkan juga jabatan yang lain seperti Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK) dan Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM).
Selain itu, seramai 270 sukarelawan dilantik sebagai Skuad Waja Perak yang digerakkan di semua 24 Parlimen dalam negeri Perak dengan berteraskan semangat kesukarelawan.
“Skuad Waja yang diberi latihan dan bimbingan sokongan psikososial, dapat membantu usaha mewujudkan persekitaran yang kondusif dan harmoni kepada pembangunan wanita dan masyarakat dalam semua aspek termasuk kesejahterann emosi dan kesihatan mental kearah negeri Perak yang sejahtera,” katanya.
-Berita Harian