Covid19Semasa

Lebih 700 guru di Johor tolak vaksin

JOHOR BAHRU : Seramai 779 guru di Johor dilaporkan menolak vaksin Covid-19.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) bertindak memanggil kesemua guru tersebut bagi memberi penjelasan dan kaunseling berhubung manfaat pengambilan vaksin.
Tambah beliau, sehingga 19 Ogos lalu, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di negeri itu sudah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala, 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.
“JPN ambil inisiatif berhemah panggil dan kaunseling (guru-guru yang menolak vaksin)… sebahagiannya sudah dipanggil secara individu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan libatkan bantuan Jabatan Agama untuk bantu beri penerangan dan kaunseling dan akhirnya mereka akan turut serta dalam (program) vaksinasi,” kata Mazlan.
Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, suntikan vaksin bagi anggota kumpulan pelaksana seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 sudah lengkap kedua-dua dos.
Sementara itu, staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus, jelasnya, sudah menerima dos pertama dan 7,030 peratus lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.
Kata Mazlan, kerajaan negeri yakin program vaksinasi dapat dicapai 100 peratus menjelang pembukaan sesi persekolahan kelak.
Awani
Oleh Nurshazlin Sharom

Related Articles

Back to top button