Vandalisme tanah perkuburan Islam di Jerman
BERLIN : Kira-kira 30 batu nisan di tanah perkuburan Islam di bandar Iserlohn yang terletak di barat laut Jerman telah dirosakkan, menurut polis pada Sabtu.
Insiden itu berlaku lewat Jumaat, menurut kenyataan pendakwa raya dan jabatan polis Hagen.
Pihak berkuasa mengeluarkan rayuan untuk mendapatkan maklumat daripada sesiapa yang menyaksikan vandalisme atau mempunyai maklumat yang boleh membantu siasatan.
Serangan itu berlaku ketika peningkatan dalam jenayah anti-Muslim di Jerman yang membimbangkan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Turki turut meluahkan rasa “kesedihan” mengenai kejadian itu.
Ia berkata serangan pada Malam Tahun Baru adalah “petunjuk baharu mentaliti anti-Islam yang makin terul, yang baru-baru ini semakin meningkat terutamanya di Eropah dan telah menjadikan tanah perkuburan Islam sebagai sasaran.”
Kementerian menggesa pegawai untuk mencari “penjenayah serangan keji ini” dan “dibawa ke muka pengadilan dan diberi hukuman yang sepatutnya.”
Ia juga meminta pihak berkuasa untuk “mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengelakkan insiden sama daripada berlaku.”
Untuk rekod, menurut “Laporan Islamofobia Eropah 2020” yang diterbitkan baru-baru ini, sebanyak 901 jenayah anti-Muslim telah direkodkan oleh Pejabat Polis Jenayah Persekutuan di Jerman pada tahun 2020.
18 demonstrasi anti-Islam telah diadakan dan 16 telah dianjurkan oleh gerakan perkauman PEGIDA di Jerman pada tahun yang sama.
-TRT World