Lebih 1 juta haiwan dibunuh oleh Perkhidmatan Hidupan Liar AS
WASHINGTON : Sebanyak 1.75 juta haiwan dilaporkan dibunuh oleh sebuah organisasi di bawah seliaan Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) sepanjang tahun 2021 di negara itu.
Laporan tersebut telah mencetuskan kemarahan dari kumpulan-kumpulan pemuliharaan alam sekitar.
Memetik laporan akhbar The Guardian, jumlah tersebut adalah bersamaan kira-kira 200 haiwan yang dibunuh pada setiap jam.
Haiwan seperti serigala, koyote, kugar, burung dan haiwan lain sering menjadi sasaran pembunuhan daripada program hidupan liar persekutuan bagi membuka laluan kepada industri pertanian di beberapa negeri termasuk Texas, Colorado serta Idaho.
Data baharu yang dikeluarkan menerusi program itu menunjukkan organisasi tersebut, Perkhidmatan Hidupan Liar membunuh antaranya, sebanyak 324 serigala kelabu, 64,131 koyote, 433 beruang hitam, 200 singa gunung, 605 kucing hutan, 3,014 musang, 24,687 memerang dan dan 714 memerang sungai pada tahun lalu.
Pembunuhan itu dilakukan bagi melindungi hasil pertanian, spesies terancam dan manusia.
Menurut Perkhidmatan Hidupan Liar, pihaknya hanya menyasarkan spesies invasif tertentu yang dianggap sebagai memberi ancaman kepada ekosistem tempatan seperti babi liar dan tikus paya gergasi dipanggil nutria.
“Membunuh karnivor seperti serigala dan anjing hutan yang kononnya untuk memberi manfaat kepada penternak hanya membawa kepada lebih banyak konflik dan pembunuhan.
Kami menuntut Perkhidmatan Hidupan Liar melakukan perubahan dan bertanggungjawab atas kitaran ganas tersebut,’’ kata pengarah pemuliharaan karnivor di Pusat Kepelbagaian Biologi, Collette Adkins.
Jumlah haiwan asal yang dilaporkan dibunuh pada 2021 adalah menyamai 433,192 ekor haiwan yang dibunuh pada 2020.
– AGENSI