Semasa

Lata Berangin dilanda banjir ekoran fenomena kepala air

KOTA BHARU : Beberapa kampung berhampiran Lata Berangin di Kuala Krai dilanda banjir ekoran fenomena kepala air, hari ini.

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Muhammad Rizwan Ar-rafee Parsimin berkata kejadian berlaku berikutan hujan lebat serta air dari sungai di daerah Gua Musang dan Terengganu mengalir ke lokasi berkenaan.

Menurutnya, arus air di kawasan yang terlibat dikategorikan sebagai kepala air yang kecil susulan tiada membawa bersama kayu atau balak.

“Beberapa kampung di lokasi yang melibatkan Lata Berangin dan Mengkebang dinaiki air.

“Namun setakat ini, disebabkan hanya berlaku banjir kecil penduduk tersebut tidak dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Bagaimanapun kebarangkalian kampung di kawasan rendah boleh dinaiki air andai hujan yang berterusan. Pemantauan dan pemindahan mangsa akan dilakukan segera kalau kediaman mereka dinaiki air,” katanya.

Beliau sekali gus menasihati penduduk supaya bersiap sedia untuk berpindah, termasuk meletakkan dokumen penting dan barang berharga di tempat yang selamat.

Terdahulu, rakaman video kejadian kira-kira jam 10.30 pagi tadi itu turut tular dalam media sosial.

-BH Online

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button