Semasa

Laporan awal sahkan ada pelanggaran

Sebab helikopter berdekatan masih disiasat

KUALA LUMPUR : Setelah lebih sebulan, kemalangan udara membabitkan dua helikopter di Taman Melawati di ibu negara, laporan awal mengenainya dikeluarkan kelmarin.

Biro Penyiasatan Kemalangan Udara (BSKU) dalam laporan awal siasatan pelanggaran di udara melibatkan dua helikopter, 9M-HCA dan 9M-HCB, pada 8 NovĀ  itu mendapati helikopter 9M-HCB yang terhempas di tepi jalan menyebabkan kematian kedua-dua penumpangnya.

Manakala 9M-HCA walaupun mengalami kerosakan, berjaya melakukan pendaratan cemas di padang sekolah berhampiran dengan kedua-dua penumpangnya tidak mengalami kecederaan.

Laporan itu menyebut, siasatan awal mengesahkan yang satu pelanggaran telah berlaku di udara.

Sipnosis laporan awal itu, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong hanya laporan awal dan penyiasatan mengenai kemalanan tersebut masih lagi berjalan.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan hari ini, dan memaklumkan laporan awal itu boleh didapati di laman sesawang Kementerian Pengangkutan.

Penilaian visual di kawasan terhempas mendedahkan yang 9M-HCB turun pada sudut yang amat curam dan ini disahkan dengan kadar kejatuhannya dan kerosakan terhadap pokok berhampiran dengan titik impak.

Laporan itu menyatakan satu analisis lebih mendalam terhadap data ADS-B masih berterusan, dengan harapan lebih banyak perkara ditemui mengenai mengapa kedua-dua helikopter itu bertembung.

Juruterbang helikopter malang itu, komander (bersara) Mohamed Sabri Baharom, 56, dan penumpangnya ahli perniagaan Mohd Irfan Fikri Mohamed Rawi, 42, meninggal dunia dalam kejadian tersebut.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airline Bhd Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan penumpangnya Tan Chai Eian, 51, terselamat apabila helikopter mereka berjaya melakukan pendaratan cemas di kawasan berhampiran.

Datuk Seri Wee berkata, tujuan utama siasatan adalah untuk mengetahui keadaan dan penyebab kemalangan itu dengan sasaran untuk mengelakkan kemalangan seumpamanya berlaku di masa hadapan.

“Siasatan dilakukan bukan untuk mencari kesalahan atau liabiliti”, katanya.

Berdasarkan kepada laporan awal, Wee berkata, Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah mengambil tindakan segera bagi memastikan keselamatan orang awam dan pemain industri penerbangan.

“CAAM pada masa ini melihat kepada latihan tambahan sebagai satu syarat untuk kelab dan operator persendirian. Ini bertujuan meningkatkan kesedaran dan kecekapan dalam kalangan peminat penerbangan,” katanya.

Wee berkata, CAAM akan memulakan kajian semula mengenai peraturan dan prosedur bagi mengenal pasti kekurangan yang ada dan memperbaikinya, bagi memastikan kejadian seumpamanya tidak berulang.

“Langkah ini meletakkan keselamatan semua peminat penerbangan sebagai keutamaan utama, tanpa mengganggu pengembangan perniagaan dan minat terhadap penerbangan awam,” katanya. – BERNAMA

 

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button