Semasa

Kumpulan pertama terima tablet PerantiSiswa minggu kedua Jun

KUALA LUMPUR : PerantiSiswa Keluarga Malaysia dijangka akan diterima oleh kumpulan pertama pada minggu kedua Jun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata bagaimanapun tempoh berkenaan bergantung kepada proses ‘delivery‘ pembida-pembida yang dipilih.

“Pengagihan pertama dirancanh selepas 30 hari dari tarikh permohonan, dan proses pemberian kedua pula adalah pada Ogos iaitu dua bulan selepas proses permohonan bagi mereka yang membuat permohonan lewat dan bagi kes-kes rayuan,” katanya.

Mengulas lanjut, Annuar memaklumkan bahawa Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah memuktamadkan bahawa peranti itu berbentuk tablet yang hadir lengkap dengan aksesori termasuk papan kekunci.

Permohonan bagi program PerantiSiswa telah dibuka mulai 15 April lalu dengan peruntukan RM450 juta melibatkan tempahan 350,000 unit peranti.

“Kita juga turut melaksanakan ‘trial’ kepada sekumpulan pelajar mengikut nasihat daripada jawatankuasa termasuk EPU (Unit Perancang Ekonomi),

  dan mendapat maklum balas dari mereka.
Kita memutuskan dengan RM450 juta bajet yang ada, adalah lebih baik kita berikan tablet yang berkualiti tinggi berbanding laptop yang berkualiti rendah mengambil kira elemen kos,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata jenama dan pembekal bagi peranti program berkenaan akan diumumkan minggu depan, sambil mengulangi jaminan ia adalah jenama terkenal dalam pasaran dan bukan berkualiti rendah.

Kira-kira 350,000 pelajar golongan B40 di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS), politeknik serta kolej komuniti bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), layak memohon inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Peranti itu bakal dimanfaatkan mereka yang sedang mengikuti pengajian peringkat diploma, diploma lanjutan serta ijazah sarjana muda.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button