Semasa

Kumpul nama pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing untuk vaksinasi

KUALA LUMPUR : Agensi di bawah Kementerian Pengangkutan diarah mengumpulkan nama pemandu e-hailing dan penunggang p-hailing di negara ini bagi tujuan vaksinasi.

Menurut Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan barisan hadapan (frontliner), mereka juga perlu diberi keutamaan dalam pemberian vaksin bagi memastikan keselamatan pemandu, penunggang dan pelanggan.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengadakan perjumpaan maya dengan pihak pengurusan syarikat Grab – Foto: Facebook

“Sepertimana yang saya umumkan sebelum ini, proses penjadualan pemberian vaksin bagi pemandu teksi, e-hailing dan penunggang p-hailing sudahpun bermula, di mana kumpulan pertama yang bakal menerima vaksin melibatkan 41,488 pemandu teksi dan e-hailing serta 11,527 penunggang p-hailing.

“Saya faham sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sektor pengangkutan merupakan perkhidmatan perlu yang terus beroperasi 24 jam sehari dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat selain memastikan pergerakan barangan dan penumpang tidak terjejas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Dr Wee turut memaklumkan Kementerian Pengangkutan juga bekerjasama rapat dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dalam usaha kami mencapai imunisasi berkelompok seawal mungkin.

Sementara itu, beliau berharap dengan adanya kerjasama semua pihak, pemandu kenderaan awam di bawah jagaan Kementerian Pengangkutan akan dapat menerima vaksin mereka selewat-lewatnya pada penghujung bulan Ogos nanti.

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button