Bukti mengerikan mengenai kekejaman rejim Assad terus terbongkar selepas kejatuhannya bulan ini. Pelbagai kumpulan hak asasi manusia dan badan antarabangsa melaporkan penemuan kubur besar-besaran di seluruh negara itu, mendedahkan kezaliman sistematik terhadap rakyat Syria sepanjang konflik berdarah lebih 13 tahun.
Menurut Suruhanjaya Antarabangsa mengenai Orang Hilang, sehingga 66 tapak kubur besar di Syria masih belum disahkan. Ketua Suruhanjaya, Kathryne Bomberger, menyatakan peningkatan drastik laporan kehilangan individu dari keluarga di Syria selepas kawasan tertentu berjaya dibebaskan.
Tapak kubur besar berhampiran Damaskus, termasuk di Al Qutayfah dan Adra, dipercayai menempatkan mayat tahanan rejim Assad. White Helmets, sebuah kumpulan penyelamat utama Syria, melaporkan penemuan “tujuh beg berisi tulang” di kawasan berhampiran. Mereka percaya setiap tapak tentera rejim Assad berkemungkinan menyembunyikan kubur besar.
Penduduk tempatan di Najha mendedahkan bahawa trak penyejuk sering dilihat membawa mayat untuk dibuang ke dalam parit yang digali menggunakan jentolak. Saksi juga melaporkan kejadian beg berisi tulang yang ditemui dibuang di tepi jalan pada waktu malam.
Bukti kezaliman ini turut disokong oleh imej satelit yang dianalisis Reuters, yang menunjukkan penggalian berskala besar di Al Qutayfah antara 2012 hingga 2014 dan berterusan sehingga 2022.
Lebih 150,000 individu dilaporkan hilang, termasuk orang awam dan tahanan, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta organisasi antarabangsa. Keterangan mengenai kubur besar ini mula muncul semasa perbicaraan mahkamah Jerman pada 2021 dan dalam kongres AS pada 2023.
Rejim Bashar Assad yang berkuasa selama lebih sedekad dituduh melakukan pelbagai jenayah kemanusiaan, termasuk hukuman mati secara besar-besaran dan penggunaan senjata kimia terhadap rakyatnya. Penemuan kubur besar ini memberi gambaran jelas tentang jentera penindasan yang wujud di bawah pemerintahan Assad.
Ketika keluarga mangsa bergegas ke bekas penjara dan tapak kubur besar, mereka terus mencari jawapan tentang nasib insan tersayang yang hilang sepanjang konflik ini.
Sumber: TRT World, Reuters, BBC, AFP.