Semasa

Kuala Lumpur hantar nota bantahan

Duta China ke Malaysia dituntut beri penjelasan

KUALA LUMPUR : Wisma Putra akan mengeluarkan satu nota bantahan terhadap China susulan pencerobohan pesawat mereka semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam satu kenyataan berkata, pihaknya juga menuntut penjelasan Duta China Ke Malaysia, Ouyang Yujing selepas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan 16 pesawat tentera udara milik China, People’s Liberation Army-Air Force (PLAAF) memasuki ruang udara negara ini.

Beliau dalam satu kenyataan lewat malam tadi berkata  Malaysia memandang serius perkara itu dan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara tidak bermakna Malaysia berkompromi dalam hal keselamatan.

“Malaysia memandang serius isu pencerobohan membabitkan kerajaan China. Pendirian kita jelas. Mengadakan hubungan diplomatik dengan mana-mana negara tidak bermakna kita boleh berkompromi dalam hal keselamatan negara. Malaysia akan terus menjaga kedaulatan dan keamanannya,”

Terdahulu, TUDM mendedahkan mengesan penerbangan mencurigakan iaitu sebanyak 16 buah pesawat PLAAF memasuki ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu dan menghampiri ruang udara nasional pada 31 Mei.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad berkata, penerbangan pesawat-pesawat PLAAF tersebut telah dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM daripada Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada jam 11.53 pagi waktu tempatan.

Katanya, pesawat tersebut telah dikesan terbang secara formasi taktikal in-trail pada jarak 60 batu nautika di antara satu sama lain. Formasi panjang tersebut juga telah terbang dengan paten dan haluan yang sama menggunakan satu titik laluan masuk dan keluar.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button