KUALA LUMPUR: Bagi laluan Pantai Timur, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan satu perkhidmatan tren khas serta menambah dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif KTMB, Mohd Rani Hisham Samsudin berkata Ekspres Khas Keluarga Malaysia itu merupakan tren khas laluan Pantai Timur yang akan melakukan perjalanan pada 29 April ini bermula dari Kl Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.
Katanya, ini merupakan inisiatif KTMB dan Kementerian Pengangkutan Malaysia yang membawa slogan ‘Maghi Kelek Kampung’ sebagai salah satu pengangkutan alternatif bagi masyarakat yang akan pulang berhari raya dengan selesa, selamat serta harga yang berpatutan.
“Sebanyak 516 tiket ditawarkan untuk tren khas ini dan tren pertama akan berlepas pada 29 April, jam 11 malam dari Stesen KL Sentral dan akan berhenti di 17 stesen seperti Bandar Tasik Selatan, Kajang, Nilai, Seremban, Pulau Sebang, Mentakab, Jerantut, Gua Musang, Pasir Mas dan Tumpat.
“Tren ini dijangka akan tiba di Stesen Tumpat pada 30 April, jam 3.55 petang, manakala perjalanan balik dari Stesen Tumpat adalah pada 7 Mei, jam 10 malam dan akan tiba di Stesen KL Sentral pada 8 Mei, jam 3.04 petang,” katanya.
Tambahnya lagi, KTM memberikan perkhidmatan istimewa untuk Keluarga Malaysia yang inginkan keselesaan dan menjimatkan masa ketika pulang ke kampung.
“Tren khas ini bakal dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier dan superior, koc buffet dan koc chillax untuk aktiviti solat dan moreh beramai-ramai.
“Tiket akan dijual pada 15 April (esok) dengan harga bermula RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala, cenderahati juga akan diberikan kepada penumpang yang membuat perjalanan dengan tren khas ini,” katanya.
Dalam kenyataan sama, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, bagi mengurangkan kesesakan jalan raya yang dijangka berlaku pada sambutan Aidilfitri tahun ini, perkhidmatan tren khas itu diwujudkan.
“Secara lazimnya, setiap kali musim perayaan terutamanya Aidilfitri, kesesakan jalan raya bakal dihadapi warga Pantai Timur dan pada tahun ini, kita jangkakan pertambahan trafik drastik kerana sudah dua tahun tidak pulang beraya.
“Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan ini ia dapat mengurangkan kesesakan dan memberi jaminan keselesaan serta keselamatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.
Mohd Rani Hisham berkata, sebanyak 4,368 tiket disediakan bagi tren ETS tambahan bagi perkhidmatan membabitkan perjalanan KL Sentral- Padang Besar dan sebaliknya pada 29 April hingga 2 Mei dan 6 Mei hingga 8 Mei.
“Perkhidmatan tambahan ini berikutan status jualan tiket pada tarikh berkenaan sudah habis dijual.
“Jualan tiket bagi tren tambahan ini akan mula dijual pada 15 April (esok) dan pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB,” katanya.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200 atau melayari saluran media baharu KTMB.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today