KPM nafi wujud jadual hukuman tindakan tatatertib
PUTRAJAYA : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menafikan mewujudkan jadual bagi hukuman tindakan tatatertib yang dilarang dilakukan terhadap murid.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pihaknya tidak pernah membuat pengisytiharan mengenai jenis hukuman terhadap murid sekolah.
“Sekeping gambar diri saya dipaparkan di laman web itu, seolah-olah saya yang memberi kenyataan itu.
“Dalam mana-mana dokumen rasmi kementerian, KPM tidak pernah mengeluarkan jadual bertajuk ‘Unit Disiplin KPM: Bentuk Hukuman Terlarang.’
“Mari kita semak semula kesahihan sesuatu berita sebelum mengedarkannya,” tulisnya dalam ciapan tweet hari ini.
Sebelum ini, banyak perbincangan di media sosial berhubung jenis hukuman yang menyalahi undang-undang digunakan terhadap kesejahteraan fizikal, mental dan emosi pelajar.
Berdiri dalam keadaan panas untuk jangka masa yang lama, berlari mengelilingi padang, berdiri untuk jangka masa yang lama di dalam atau di luar bilik darjah, berdiri di atas kerusi atau meja, menarik rambut atau telinga, belasah dengan alatan seperti tali pinggang atau pembaris, mencubit, ketuk ketampi dan junjung kerusi atau buku adalah semua contoh hukuman fizikal.
Memotong rambut, menampar, menggantung tulisan di badan, memalukan di khalayak ramai, memaki hamun, kelas tahanan semasa waktu rehat dan mengabaikan murid semuanya disenaraikan sebagai hukuman untuk masalah mental dan emosi.
Sementara itu, menurut kenyataan KPM, tindakan tatatertib hanya boleh diambil mengikut peraturan pengurusan tatatertib KPM.
“Peraturan-Peraturan Pendidikan (Disiplin Sekolah) 1959; Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bil. 8/1983: Mengenakan Hukuman Biasa Terhadap Murid-murid yang Melakukan Perbuatan Salah Laku Yang Tidak Dinyatakan Dalam Peraturan-peraturan Pelajaran; SPI Bil. 7/1995: Tatacara Mengenakan Tindakan dan Hukuman Terhadap Pelajar-Pelajar Sekolah.
“Selain itu adalah SPI Bil 10/2001: Semua Guru Adalah Guru Disiplin; SPI Bil 7/2003: Kuasa Guru Merotan Murid; dan SPI Bil 7 Tahun 2011: Pelaksanaan Prosedur Operasi Standard (SOP) 1:3:7 Pelaporan dan Tindakan Menangani Isu Disiplin.
“Sehubungan itu, KPM menegaskan tatacara pengurusan disiplin murid adalah berdasarkan Garis Panduan dan SPI yang dinyatakan,” katanya.
-AGENSI
Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM