SHAH ALAM : Ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di semua sekolah bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu menggunakan kit ujian air liur sahaja.
KPM dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia selaras dengan arahan menerusi surat yang bertarikh 28 November 2021 tidak membenarkan penggunaan kit ujian secara calitan hidung.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bagi memberi respon kepada gambar yang tular di media sosial bertajuk ‘Di sebuah sekolah guru-guru menjalani latihan amali dengan swab pelajar’.
“Siasatan KPM mendapati gambar tersebut melibatkan ujian saringan Covid-19 yang dilaksanakan di sebuah sekolah di negeri Pahang.
“Secara keseluruhan, seramai 16 murid dipilih secara rawak untuk menjalani ujian saringan Covid-19 menggunakan kit ujian air liur.
“Bagaimanapun, demonstrasi calitan hidung turut dilaksana melibatkan empat guru dan empat murid yang dibimbing oleh dua orang Jururawat Masyarakat,” kata kenyataan pada Rabu.
Dalam pada itu, KPM turut memaklumkan pengurusan ujian kendiri Covid-19 bagi murid KPM dilaksana mengikut ketetapan dalam Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
Pada 28 November, KPM mengeluarkan surat pemakluman berkenaan pelaksanaan ujian saringan Covid-19 yang dibuat secara penggiliran membabitkan sekurang-kurangnya 10 peratus murid.