Covid19EkonomiKemanusiaanKerohanianSemasa

Kongsikan Harta Semasa Musibah, Dijamin Pahala Sedekah Yang Paling Besar

Apa sahaja yang terlintas di minda seseorang itu menggambarkan perkara yang menjadi keutamaan dalam kehidupan sehariannya. Bagi seorang Muslim, Rasulullah SAW mengajarkannya supaya berpagian dengan sedekah kerana ia adalah punca kepada murahnya rezeki dan asbab yang dapat menolak kemurkaan Allah SWT. Itu bermakna, tidak lengkap hari seseorang itu jika telah berlalu harinya tanpa satu amalan sedekah yang diniatkan dan dilakukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain.

Dalam sebuah hadis direkodkan daripada Abu Hurairah: “Seorang lelaki menemui Rasulullah SAW lalu bertanya: “Ya Rasulullah, sedekah apakah yang paling besar pahalanya?”

Sedekah yang engkau berikan semasa engkau dalam keadaan sihat, semasa kamu berasa ragu kerana khuatir menjadi miskin dan mengharapkan kekayaan. Jangan kamu menunda-nunda sedekah sehingga nyawamu sampai di kerongkong. Pada waktu ini, baru engkau mengatakan harta saya nanti sekian untuk waris itu, sekian untuk waris ini, padahal tanpa engkau katakan begitu, hartamu pasti akan menjadi milik warismu.” (Riwayat al-Bukhari)

Kita dibesarkan dengan kisah-kisah sahabat Nabi yang sentiasa berlumba-lumba untuk memberikan harta mereka kepada perjuangan menyebarkan syiar Islam. Kita mengenali nama-nama seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Abdul Rahman bin Auf dan ramai lagi. Tetapi tahukah kita tidak semua sahabat Nabi yang bersedekah itu adalah orang yang berharta? Misalnya Abu Hurairah, Salman al-Farisi, Ammar bin Yassir, Bilal bin Rabah dan dalam kalangan sahabat wanita, Ummu Sulaim adalah contoh ibu tunggal yang miskin. Namun Nabi tidak pernah mengecualikan mereka dari bersedekah.

Abu Mas’ud r.a pernah menyatakan: “Kami diperintahkan (oleh) Rasulullah SAW supaya bersedekah, sedangkan kami hanya (bekerja) sebagai pekerja kasar atau kuli. Namun Abu ‘Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lain-lain mengikutinya dengan menyedekahkan apa saja, namun lebih banyak daripada itu,” (Sebahagian hadis riwayat Muslim)

Betapa besar syiar bersedekah ini hinggakan orang miskin turut diajar untuk sentiasa berikhtiar untuk melaksanakannya. Justeru, bayangkan jika Baginda mengetahui ada di kalangan umatnya yang berharta tapi masih berkira-kira untuk membelanjakan hartanya untuk manfaat orang lain?

Sedekah di kala musibah COVID-19

1. Memberi sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala. Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan bersedekah kepada kaum keluarga yang memerlukan bantuan iaitu:

“Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Ahmad)

2. Menghulurkan bantuan kepada jiran yang memerlukan. Kita perlu sentiasa mengambil berat akan keadaan orang di sekeliling yang dekat dan membantu mereka mengikut kemampuan kita secara berterusan agar tiada golongan susah yang terpinggir.

3. Memberi sumbangan berbentuk kewangan kepada tabung COVID-19. Tabung ini diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dilancar bagi membantu mereka yang terkesan dengan jangkitan virus itu. Tabung ini bertujuan mengumpul dana daripada rakyat Malaysia, dan akan dikembalikan kepada mereka yang berhak.

4. Membantu kerajaan dalam mencapai perancangan yang memerlukan dana yang banyak. Seperti yang kita tahu, kos untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 tidak selamanya dapat ditampung oleh kerajaan melalui hospital awam. Maka syarikat insurans disarankan membantu dengan memberi peruntukan khusus bagi pencarum insurans supaya mereka boleh menjalankan ujian di hospital swasta.

Tokoh penyumbang negara yang bersedekah 

Ketika Malaysia sedang bergelut dengan krisis ekonomi akibat COVID-19, siapa sangka mereka ini yang akan menyumbang demi negara mendahului orang lain:

1. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan supaya kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja kepada Seri Paduka berdua selama enam bulan mulai Mac hingga Ogos membantu meringankan beban kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.

2. YAB Perdana Menteri, Menteri dan Timbalan Menteri telah sepakat memutuskan supaya gaji mereka dipotong selama 2 bulan dan disalurkan ke Tabung COVID-19.

3. Worldwide Holdings Berhad menerusi inisiatif Worldwide Prihatin memberi peruntukkan sebanyak RM400,000 bagi membantu kerajaan menangani wabak Covid-19 serta peralatan perlindungan peribadi untuk pasukan hadapan.

4. Naza Corporation Holdings Sdn Bhd, diwakili Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, SM Nasaruddin SM Nasimuddin yang menyampaikan replika cek berjumlah RM1.25 juta.

5. Malayan Banking Bhd (Maybank) menyumbangkan dana sebanyak RM10 juta yang dikumpulkan di bawah Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) sebagai menyokong perjuangan Malaysia dalam menentang pandemik COVID-19.

6. Puncak Niaga Holdings Berhad menyumbang wang tunai RM1 juta selain peralatan perubatan termasuk 28 unit mesin bantuan pernafasan dan satu unit mesin haemodialisis bernilai RM5 juta yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutifnya, Tan Sri Rozali Ismail.

7. Sumbangan wang tunai RM1 juta ialah syarikat E-Idaman Sdn Bhd yang diwakili Pengarahnya, Zaim Husni Omar.

8. The Edge Media Group yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ho Kay Tat menyumbang peralatan dan keperluan kesihatan COVID-19 bernilai RM21 juta.

9. Leong Hup International Berhad turut menyumbang wang tunai RM500,000 selain dua unit mesin bantuan pernafasan yang disampaikan oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Lau Tuang Nguang.

10. UDA Cares menyumbangkan lebih RM100,000 bantuan, khususnya barangan dan keperluan bagi membantu hospital serta petugas perubatan barisan hadapan dalam mengatasi penularan pandemik COVID-19 di Malaysia.

(Artikel ditulis saudara Syukri pegawai pelatih (latihan industri) di Wisma MAPIM Malaysia)


Sumbangan Tabung Bantuan Kemanusiaan COVID19

MAPIM Malaysia mensasarkan dana bantuan sebanyak RM650,000.00 untuk pembelian 10,000 bekalan makanan dengan kos RM65 untuk satu keluarga. MAPIM Malaysia juga mengalu-alukan sumbangan wang ringgit dan barangan stok makanan seperti beras, sardin, roti, tepung,dan lainnya untuk dapat diagihkan kepada fakir miskin serta golongan yang sangat memerlukan saat-saat begini.

MAPIM Malaysia menjemput rakyat Malaysia yang prihatin dan ingin menyalurkan sumbangan untuk Tabung Bantuan Kemanusiaan COVID19 ini bolehlah infaq online menerusi www.bantuummah.com  atau infaq menerusi akaun Tabung Kemanusiaan MAPIM (Maybank 562263540066)

MAPIM Malaysia boleh dihubungi menerusi hotline 1-300-888-038 atau aplikasi Whatsapps di talian 012-800 2016.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button