KerohanianPendidikanSemasa

Haram lakukan jual beli atas talian ketika solat Jumaat

PUTRAJAYA : Umat Islam terutamannya kaum lelaki diwajibkan melakukan Solat Jumaat yang merupakan solat fardhu dua rakaat.

Namun golongan lelaki yang mukallaf adalah diharamkan melakukan transaksi jual beli di atas talian ketika tempoh waktu solat Jumaat.

Teguran tersebut dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui artikel Irsyad Al-Fatwa Siri ke-683 yang disiarkan dalam laman sesawang itu semalam.

“Hukum melakukan transaksi jual beli secara atas talian ketika solat Jumaat adalah haram kerana ia boleh melalaikan seseorang daripada menumpukan solat Jumaat,”katanya.

Malah syarak juga melarang perbuatan jual beli ‘online’ ketika waktu solat Jumaat  ini kerana ia umpama perkara yang boleh melalaikan. Masyarakat dinasihatkan untuk melakukan transaksi jual beli tersebut selepas selesai waktu solat Jumaat.

Secara umumnya, perbuatan jual beli pada hari Jumaat diharuskan, namun apabila masuknya waktu solat Jumaat, umat Islam perlulah meninggalkan urusan duniawi dan fokus pada solat Jumaat tersebut.

Menurut Surah al – Jumuah ayat ke-9, Imam Ibn Kathir menjelaskan waktu larangan transaksi jual beli  adalah ketika bermulanya azan kedua bagi solat Jumaat dan imam berada di atas mimbar seperti mana yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Pandangan ini turut dipersetujui oleh para fuqaha yang menyatakan pengharaman melakukan urusan jual beli dan seumpamanya (seperti akad nikah dan akad sewa menyewa) setelah dikumandangkan azan kedua solat jumaat yang boleh melalaikan tumpuan solat Jumaat.

“Sifat jual beli secara atas talian adalah sama seperti jual beli konvensional seperti adanya pembeli, penjual dan barang dagangan.

“Tidak dapat dinafikan kewujudan laman e-dagang memudahkan manusia untuk berjual beli tidak mengira tempat dan waktu,” katanya.

PMWP turut mengingatkan bahawa perbuatan tersebut akan membuatkan seseorang itu lalai daripada menumpukan pada ibadahnya.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button