Semasa

KKM sahkan tiada coklat Kinder tercemar di Malaysia

PETALING JAYA: Produk coklat jenama Kinder dari Belgium yang tular ekoran pencemaran bakteria Salmonella typhirium, disahkan tiada dalam pasaran Malaysia.

Hal ini turut disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan.

Menurut Pengarah Kanan Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Mohd Salim Dulati, pihaknya peka akan laporan pencemaran bakteria Salmonella typhirium dalam produk coklat yang dihasilkan oleh kilang Ferrero Ardenes di Arlon, Belgium.

“Berdasarkan semakan data melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan (FoSIM) Malaysia dari tahun 2021 hingga kini, tiada kemasukan produk yang terbabit ke Malaysia,” katanya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, International Food Safety Authortities Networks (INFOSAN) turut mengesahkan produk yang terlibat tidak dieksport ke Malaysia.

Ujar beliau, coklat yang berjenama Kinder yang memasuki Malaysia kebanyakkannya diimport dari Poland, Itali, Jerman, India dan beberapa negara lain.

Antara produk coklat dari Belgium yang terlibat adalah Kinder Surprise, Kinder Mini Eggs, Kinder Surprise Maxi 100g, Kinder Schokobons dan Kinder Egg Hunt Kit.

“Bagaimanapun, KKM akan meningkatkan pemantauan ke atas produk coklat berjenama Kinder di pintu masuk negara bagi memastikan produk yang terlibat tidak masuk ke pasaran tempatan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

“Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanana, pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat atau hubungi KKM melalui laman web http://moh.spab.gov.my atau laman Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button