Covid19Semasa

KKM lulus penggunaan Sinovac kepada remaja 12 tahun ke atas

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  bersetuju memberi kelulusan  bersyarat bagi  penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia  kepada golongan berusia 12 tahun ke atas di negara ini.

Kata  Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah,  keputusan itu dibuat melalui Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-364 yang bersidang hari ini.

Dalam kenyataan media tersebut, beliau berkata ia adalah kelulusan bersyarat kedua vaksin Covid-19 untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada Jun 2021.

“Bagaimanapun, PBKD menyarankan agar penggunaan vaksin CoronaVac dalam kalangan remaja berusia 12 hingga 17 tahun buat masa ini diutamakan kepada remaja tanpa komorbiditi dan yang mempunyai masalah alahan atau tidak sesuai untuk menerima vaksin Comirnaty.

“Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi,” katanya .

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kelulusan pendaftaran bersyarat itu memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin itu dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko (benefit over risk) bagi vaksin tersebut kekal positif.

“”KKM juga komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia, dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD,” ujarnya.

Kenyataan media Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button