KUALA LUMPUR : Penggunaan vaksin Covid-19 Convidecia CanSino Bio (CanSino) telah mendapat kelulusan dari pihak Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai dos penggalak heterologous (pemvaksinan secara campuran).
KKM dalam satu kenyataan di laman sesawangnya memberitahu bahawa MySejahtera akan membuka permohonan bagi dos penggalak jenis CanSino dalam masa terdekat.
Tambahnya, KKM menyatakan mereka yang mengambil vaksin primer Sinovac atau Cansino Bio sesuai untuk mengambil vaksin ini sebagai dos penggalak.
“Tempoh layak untuk pengambilan dos ini selepas dos primer adalah sekurang-kurangnya tiga bulan,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Solution Group Bhd (SGB) Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata rakyat kini mempunyai lebih banyak pilihan vaksin untuk suntikan dos penggalak berikutan kelulusan tersebut.
Mohd Nazlee berkata, kelulusan itu juga bermakna Convidecia kini membantu usaha kerajaan untuk pemberian dos penggalak dalam memerangi varian Omicron terutamanya kumpulan berisiko.
“Penggunaan dos penggalak daripada vaksin berbeza dengan vaksin yang diberikan sebelum ini juga lebih berkesan dengan tindak balas imun lebih tinggi berbanding menggunakan vaksin sama untuk suntikan dos penggalak,” katanya.
Anak syarikat milik penuhnya, Solution Biologics Sdn Bhd, merupakan rakan kongsi pembuatan ASEAN bagi vaksin Convidecia oleh CanSino Biologics Inc.