
KULIM : [VIDEO[ Hujan lebat selama dua jam mulai 4 petang pada Sabtu (28/11) menyebabkan kawasan sekitar Hospital Kulim termasuk yang menempatkan khemah saringan kecemasan dan kawasan saringan COVID-19 dilanda banjir kilat.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Mohd Fikri Ujang, bagaimanapun, berkata keadaan banjir pulih pada jam 6 petang dan kerja pembersihan sedang dijalankan.
“Kawasan yang terlibat adalah kawasan khemah sementara untuk saringan kecemasan dan saringan COVID-19. Kerja-kerja pembersihan sedang dilakukan dan selepas pembersihan dilaksanakan, kawasan berkenaan boleh digunakan semula dan kita tiada masalah untuk menerima pesakit,”
Menurutnya, hujan lebat menyebabkan air dari kawasan tempat letak kenderaan yang berada di lokasi lebih tinggi melimpah ke kawasan khemah sementara berhampiran bangunan hospital berkenaan.
Tular di media sosial mengenai kenaikan air di khemah sementara saringan untuk pesakit Covid-19 dengan pesakit masih di atas katil masing-masing.
Atas dasar privasi UMMAHTODAY tidak menampilkan rupa mereka.
“Sebelum ini, pihak Hospital Kulim sudah memohon untuk membesarkan longkang di tempat letak kereta berkenaan. Saya juga sudah bangkitkan perkara itu kepada pihak atasan dan sedang menunggu tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
“Beberapa penduduk telah dipindahkan melibatkan Mukim Sungai Ular, Mukim Padang Meiha, Mukim Padang Cina dan Mukim Sungai Seluang, namun belum ada pusat pemindahan yang dibuka. Ketika ini kita masih membantu penduduk dan sedang mengumpul maklumat,” katanya.