Semasa

Amaran waspada peringkat kuning seluruh negara

Hujan lebat, angin kencang hingga Isnin

KUALA LUMPUR : Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran cuaca waspada peringkat kuning di beberapa negeri seluruh negara.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Jailan Simon, berkata cuaca waspada dengan hujan lebat dijangka berlaku hingga esok di Kemaman, Terengganu, dan Kuantan, Bera, Pekan serta Rompin di Pahang.

“Amaran cuaca waspada turut dikeluarkan di daerah Kudat, Pantai Barat dan pedalaman Sabah serta seluruh Wilayah Persekutuan Labuan, berkuat kuasa hingga Isnin ini.

“Selain itu, amaran cuaca waspada dan hujan lebat dijangka berlaku membabitkan beberapa daerah di Kelantan serta Terengganu, bermula esok hingga Isnin ini,”

Daerah terbabit di Kelantan ialah Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai, manakala di Terengganu pula Besut, Setiu, Kuala Nerus serta Kuala Terengganu.

Beliau dalam satu kenyataan turut memaklumkan bahawa sepanjang tempoh berkenaan, angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer sejam dan ombak setinggi 3.5 meter, dijangka melanda perairan Kelantan, Terengganu, Pahang, Sarawak serta Sabah.

Katanya, kejadian itu boleh mendatangkan risiko limpahan air laut di pesisir pantai dan muara sungai kawasan terbabit.

 

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button