SemasaSyria

Jelaskan nasib 100,000 pelarian Syria hilang – PBB

NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa masyarakat antarabangsa pada hari Selasa untuk mewujudkan sebuah badan antarabangsa yang akan membantu keluarga kepada kira-kira 100,000 orang hilang di Syria untuk mengetahui nasib dan keberadaan orang tersayang mereka.

Antonio Guterres, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu

Antonio Guterres mengatakan bahawa, rakyat Syria berhak mendapat ukuran harapan untuk masa depan.

“Mereka berhak mendapat keamanan dan keselamatan, dan mereka berhak mengetahui kebenaran tentang nasib orang yang mereka sayang.”

Tambahnya lagi, masyarakat antarabangsa mempunyai kewajipan moral untuk membantu meringankan penderitaan rakyat Syria, yang telah menderita selama 12 tahun perang saudara dan kini ditambah lagi dengan kemusnahan akibat gempa bumi baru-baru ini.

Setiausaha Agung PBB itu berkata entiti baharu itu mestilah bebas, tidak berat sebelah, telus, serta memberi tumpuan kepada keperluan dan hak mangsa, mangsa yang terselamat dan keluarga mereka.

Beliau meminta kerjasama daripada kerajaan Syria dan semua pihak yang terlibat dalam menangani konflik itu.

Pada Disember 2021, Perhimpunan Agung menerima pakai resolusi yang menyeru Guterres untuk menjalankan kajian bersama dengan Pejabat Hak Asasi Manusia PBB tentang cara menambah baik usaha, termasuk melalui yang sedia ada, untuk menjelaskan nasib dan keberadaan orang hilang di Syria, mengenalpasti jenazah dan memberi sokongan kepada keluarga mereka.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk berkata, ketiadaan berterusan berpuluh-puluh ribu orang, daripada kanak-kanak kecil hingga lelaki dan wanita tua, menandakan semua pihak perlu mengambil tindakan tegas.

Volker Turk, Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia

Beliau berkata institusi baharu itu tidak seharusnya meniru perkhidmatan yang disediakan oleh organisasi sedia ada dan harus berpandukan anggapan bahawa orang yang hilang itu masih hidup dan memerlukan bantuan segera.

“Dari segi struktur, saya mencadangkan dua bahagian utama: satu tertumpu pada pencarian, dan yang kedua tertumpu pada sokongan dan penyertaan mangsa.”

“Kerja carian termasuk mengutamakan kes dan menyatukan tuntutan dan data sedia ada ke dalam pangkalan data yang boleh dicari,” katanya.

Kesatuan Eropah dan beberapa negara Barat, termasuk Amerika Syarikat dan Kanada, menyatakan sokongan padu terhadap usaha tersebut.

Walaubagaimanapun, beberapa negara yang mempunyai rekod hak asasi manusia yang lemah mempersoalkan keperluan, seperti yang dinyatakan oleh perwakilan Rusia, ‘satu lagi mekanisme sia-sia yang bersifat politik’.

Related Articles

Back to top button