
GENEVA : Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) gembira kerana jumlah kes baru COVID-19 di peringkat sejagat telah merosot buat tiga minggu berturut-turut pada minggu lalu.
Dalam sidang media harian di Geneva, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata kemerosotan itu menunjukkan bahawa penularan COVID-19 boleh dikawal walaupun muncul varian baru virus tersebut.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemerintah-pemerintah agar terus berwaspada.
“Kita pernah mengalaminya sebelum ini. Dalam masa setahun lalu ada ketika hampir semua negara, apabila jumlah kes berkurangan, pemerintah-pemerintah membuka semula kegiatan terlalu cepat dan virus itu kembali menular dengan pesat,” kata Dr Tedros. – AFP