Semasa

Ada master matematik, tetapi gembira memilih menjadi suri rumah

Siri Inspirasi Ummah - Mencari bahagia

Namanya Farah Aisyah. Dari Kedah. Berasal daripada keluarga sederhana tapi sangat mementingkan pelajaran. Boleh bayangkan betapa sengitnya cabaran akademik dalam keluarga apabila dua saudara perempuannya berkhidmat dalam bidang perubatan dan seorang saudara lelakinya masih lagi menuntut di universiti.

Beliau sendiri, mempunyai kelulusan sarjana (master) dalam bidang matematik. Namun dia memilih untuk menjadi suri rumah sepenuh masa. Mengapa? Inilah cerita Farah Aisyah.

Anak-anak sedang membesar

Itu keputusan yang tidak sesiapa menjangka walaupun ibu bapa Farah sendiri. Namun setiap orang akan didatangkan banyak pilihan dalam hidup. Setiap pilihan pula Tuhan akan datangkan kecenderungan hati untuk memilih mana yang terbaik untuk diri dan keluarga.

Lalu Farah cenderung untuk memilih melihat anak-anak membesar di hadapan mata, cenderung untuk membesarkan mereka sendiri, dan menanti suami pulang ke rumah. Semua itu sudah dia fikirkan dan bincangkan bersama suami. Alhamdulillah suami juga sangat senang dengan keputusan ini.

Itulah maksud Farah, Tuhan akan datang situasi yang memberikan kita kecenderungan untuk memilih yang terbaik. Itulah situasi dia pada waktu itu. Lain orang lain situasinya walaupun mungkin pilihan boleh jadi sama. Akhirnya kita cenderung memilih yang mana kita boleh kendalikan dengan hati yang tenang. Bukan memilih yang senang, tetapi yang tenang.

Ada wanita yang tenang untuk bekerja di luar, teruskan. Ada yang tenang menjadi suri rumah seperti Farah, juga teruskan. Tidak ada kerja yang senang, yang ada kerja yang membuat hati tenang. Masing-masing punya pilihan hidup bukan untuk dibanding-banding, tetapi untuk dikongsi dan difahami supaya semua orang sedar betapa beruntungnya mereka dalam situasi itu. Betapa mereka perlu bersyukur.

Sesekali anak bermain hujan biar deria mereka lebih tajam

Apa sahaja kerja, akan datang dengan cabaran. Begitu juga dengan suri rumah. Cabaran fizikal itu tetap ada. Cabaran daripada kemahiran juga perlu pelbagai. Kerana apabila menyebut suri rumah, yang terfikir adalah menguruskan anak-anak yang comel. Anak-anak yang terlihat comel ini adalah hasil akhir yang dilihat oleh masyarakat.

Sama seperti ahli perniagaan yang berkata, “Orang hanya lihat senang kita, ada kereta dan rumah besar, tetapi tak ada orang yang lihat susah payah jatuh terlentang untuk mendapatkan itu semua.”

Begitu jugalah suri rumah. Orang hanya akan lihat anak comel yang sudah memakai baju yang wangi, rumah yang kemas, makanan yang lazat terhidang, tetapi proses itu memerlukan pengorbanan yang tidak sedikit. Paling utama, sebagai suri rumah, ilmu kewangan, ilmu mengurus rumah adalah sesuatu yang sangat kritikal.

Namun Farah tidak nafikan, suri rumah bukanlah kerja bersendirian. Ia tetap perlukan sokongan semangat daripada keluarga terutamanya suami dan ibu ayah. Farah beruntung ada suami yang menyokong dan ada ayah ibu yang tidak pernah mendesak. Bukan sekadar tidak mendesak menjadi suri rumah yang terbaik, tetapi juga tidak mendesak dia mencari kerja selain suri rumah. Malah sentiasa memberikan kata-kata semangat apabila dia ‘down’.

Menguruskan persepsi masyarakat adalah yang paling sukar. Soalan seperti bagaimana kalau suami lari? Mengapa tidak bekerja mengikut kesesuaian kelulusan? Tidak susahkan suami ke? Adalah yang tidak dapat dielakkan.

Itu semua soalan yang apabila ditanyakan kepada semua wanita, baik yang bergaji tinggi, yang jutawan, yang bujang tetap akan memedihkan hati. Untuk Farah, soalan begitu jawapannya tetap bergantung situasi. Jadi sentiasa sediakan diri dalam situasi yang bersedia. Bukan sekadar bersedia dalam kerja, tetapi juga simpanan, ilmu pendidikan, dan paling utama keluarga dan rakan-rakan.

Ramai wanita yang hanya menyediakan diri dengan kerja yang bagus, tetapi tidak menyediakan diri untuk bantuan keluarga. Akhirnya apabila terpaksa hidup sendiri tanpa suami (walaupun suami cuma outstation), hidup jadi caca merba. Ingat, keluarga sangat penting. Walau sekaya mana pun, tetap perlu ada sokongan. Keluarga bukan sahaja yang sedarah, malah rakan-rakan rapat yang sudah seperti keluarga.

Farah yakin, rezeki Allah itu luas. Insya-Allah, dengan pengorbanan untuk keluarga, Allah kasihkan dia sentiasa. Bak kata ustaz Ebit Lew, kita tidak hidup dengan penghormatan orang, kita hidup untuk redha Allah.

Alhamdulillah Allah beri kelebihan melihat anak-anak membesar di depan mata, langkah kaki yang pertama, suapan yg pertama, gelak tawa yang pertama, semua dapat dia saksikan sendiri.

Farah sentiasa mengingatkan dirinya, dengan quote kegemaran ini,

“Kalau kita suka merungut, Allah beri banyak lagi sebab untuk kita merungut. Sekiranya kita suka bersyukur, Allah bagi banyak lagi sebab untuk kita bersyukur”

Memang suri rumah selain kerja hakikinya perlu juga ada hobi atau kegemaran tersendiri. Seperti Farah yang mahir memasak kek, kadangkala mengambil tempahan untuk kek sekiranya masa mengizinkan. Hobi akan melatih fokus dan memberi tenang. Cari hobi yang memberi ruang untuk fokus.

Untuk yang di luar sana, semasa PKP ramai yang ‘terpaksa’ menjadi suri rumah. Ia memang bukan kerja ‘glamour’ di kalangan masyarakat, tetapi percayalah kita adalah orang yang paling glamour di mata anak-anak dan suami. InsyaAllah juga di langit.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button