Oleh : Wartawan Pelatih, Hasanah Yusof
KUALA LUMPUR : Kes baharu COVID-19 di negara kekal berada di bawah paras 10,000 untuk tiga hari berturut-turut iaitu sebanyak 9,002 kes yang dilaporkan semalam.
Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19, telah mencecah 4,342,559.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, sebanyak 8,112 kes baharu dilaporkan pada Ahad diikuti 7,739 kes pada Isnin.
Beliau berkata dalam kenyataan, daripada jumlah kes baharu yang direkodkan semalam, sebanyak 67 kes bersamaan 0.74% adalah dalam kategori tiga, empat dan lima.
“Sebanyak 394 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital semalam, di mana 162 kes dalam kategori tiga, empat dan lima.
“Baki 232 kes adalah dalam kategori satu dan dua,” ujar Noor Hisham.
Selain itu, jumlah kes sembuh semalam melebihi jumlah kes baharu apabila 16,986 kes pulih dilaporkan yang menjadikan jumlah kumulatif kepada 4,180,765.
Di samping itu, penggunaan kemudahan kesihatan terutamanya bagi kes COVID-19, hanya dua negeri yang mendaftarkan katil untuk dihuni di unit rawatan kritikal atau intensif (ICU) COVID-19, melebihi 50% iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya, 100% dan Selangor 51%
Mengikut laporan, tiada negeri yang menghuni katil melebihi 50% di Pusat Rawatan Kuarantin dan Berisiko Rendah (PKRC) COVID-19.
“Kadar kebolehjangkitan COVID-19 kebangsaan atau nilai Rt semalam ialah 0.84 dan Selangor masih mencatatkan nilai tertinggi pada 0.93 manakala Kelantan terendah pada 0.63,” ujar beliau.
-AGENSI