Kuala Lumpur – Pada 1 dan 2 September 2023 telah berlangsungnya Nuansa Teaterikal Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu bertempat di Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur anjuran bersama Katarsis Seni dengan Majlis Mahasiswa Kolej Za’ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tujuan utama program ini adalah bagi memperingati sejarah seni di Malaysia pada tahun 80-an di tapak warisan sejarah di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Program ini mengangkat sejarah perkembangan awal seni dan sastera di Pasar Seni dengan menerapkan pelbagai mesej positif sempena bulan patriotik ini. Ia menampilkan beberapa orang artis seperti Sani Sudin, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Fairuz Pujangga, Moh Azam, Shafa’atussara, Saiful Wazien, Adiwangsa Sukma dan barisan pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan (UPSI).
Barisan produksi terdiri daripada Maisarah Yazid (Pengarah program, MMK KZ), Dr. Nor Shuradi Nor Hashim (Pengarah persembahan merangkap penulis skrip) dan Amsalib Pisali (Pengarah kreatif).
Acara malam itu turut menampilkan pelbagai genre persembahan antaranya puisi, monolog, lagu puisi, puisi, dan pantun. Acara malam itu dimulakan dengan lakonan hebat Saiful Wazien dengan dibantu essembled dari mahasiswa UPSI dan diakhiri dengan nyanyian lagu “Tanggal 31”.
Program ini selain memberi impak yang positif kepada pelajar ia juga mendedahkan orang ramai tentang kepelbagaian budaya Malaysia yang perlu dihargai.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff kerjasama UPSI yang membabitkan mahasiswa menjayakan konsert berkenaan adalah selaras dengan Amanat Menteri Pendidikan Tinggi terhadap Agenda Ke-11 iaitu Pemerkasaan Mahasiswa IPT.