KUALA LUMPUR 7 April: “Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga,” itulah ungkapan yang sesuai digunakan dalam situasi semasa di mana disebabkan seorang instafamous melanggar SOP, semua tidak dibenarkan rentas negeri.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim, berkata polis tidak akan berkompromi, sebaliknya tindakan tegas diambil terhadap mereka terbabit jika melakukan kesalahan itu.
“Seperti sedia maklum, kebiasaannya umat Islam akan pulang ke kampung halaman untuk meraikan hari pertama Ramadan. Saya pasti akan ada individu akan mencuba nasib untuk merentas negeri dengan pelbagai cara dan sekiranya kita dapat kesan individu tersebut, PDRM tidak akan berkompromi,” – Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman, Datuk Zainal Abidin Kasim
Turut terkena tempias adalah selebriti terkenal Neelofa susulan perkongsian gambar beliau sedang berbulan madu di Langkawi bersama suaminya.
Perkara itu menimbulkan kemarahan warganet kerana menjadi salah satu punca sekatan untuk merentas negeri pulang ke kampung bagi menyambut bulan Ramadan yang bakal bermula pada 13 April hadapan.
Setakat ini, terdapat kira-kira 35 sekatan jalan raya diadakan di setiap pintu masuk dan keluar serta sempadan negeri di seluruh negara.
Beliau turut menambah kelonggaran rentas negeri hanya diberi kepada mereka yang mempunyai dokumen perjalanan lengkap dengan kebenaran polis.
Pihak polis turut mengeluarkan notis arahan mewajibkan pemohon perlu tunjukkan bukti aktiviti setiap hari yang dipohon.
Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan – Hafeez Anuar