KUALA LUMPUR : Berikutan penularan jangkitan varian Omicron, pihak kerajaan membuat keputusan untuk menangguh kebenaran ibadah umrah buat sementara waktu yang akan mula berkuat kuasa pada 8 Januari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata larangan berkenaan akan kekal berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Menurutnya, bermula hari ini tempahan tiket penerbangan bagi yang berhasrat untuk mengerjakan umrah akan ditangguhkan.
KENYATAAN MEDIA KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
PENANGGUHAN SEMENTARA KEBENARAN PERJALANAN MENGERJAKAN UMRAH pic.twitter.com/jlUujtTdP4
— KKMalaysia🇲🇾 (@KKMPutrajaya) January 1, 2022
“Jemaah umrah pula perlu menjalani kuarantin wajib di stesen kuarantin atau hotel tertentu seperti dikenal pasti oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bermula 3 Januari (Isnin ini).
“Kebenaran diberikan kepada jemaah untuk meneruskan perjalanan bagi berlepas ke Tanah Suci hari ini sehingga 7 Januari depan, namun mereka harus menjalani kuarantain di stesen kuarantin atau hotel yang dikenal pasti oleh NADMA sebaik tiba di Malaysia.
“Hasil mesyuarat sudah mendapat persetujuan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri). Penilaian risiko situasi COVID-19 varian Omicron di dalam dan luar negara khususnya di Arab Saudi akan dilakukan secara berkala bagi membuat keputusan untuk membenarkan semula aktiviti umrah,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berhadap agar penangguhan sementara aktiviti umrah ini mampu membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.