KABUL : Semua kanak-kanak perempuan dari seluruh Afghanistan dibenarkan untuk pergi ke sekolah apabila sesi persekolah bermula pada minggu depan.
Menurut jurucakap Kementerian Pendidikan, Aziz Ahmad Rayan, keputusan untuk membenarkan perkara tersebut dibuat selepas mempertimbangkan sama ada golongan wanita dan kanak-kanak perempuan dibenarkan bersekolah atau melanjutkan pengajian ke universiti.
“Semua sekolah akan dibuka kepada pelajar perempuan dan lelaki di seluruh negara,” katanya.
Namun, Aziz memaklumkan terdapat beberapa syarat untuk kanak-kanak perempuan hadir ke sekolah seperti pelajar perempuan akan diajar berasingan dengan pelajar lelaki dan mereka hanya boleh diajar oleh guru wanita.
“Di beberapa kawasan pedalaman, guru wanita adalah terhad, maka kami membenarkan guru lelaki yang lebih senior untuk mengajar murid perempuan.
“Tiada sekolah yang akan ditutup tahun ini. Sekiranya terdapat sekolah yang ditutup, maka kementerian pendidikan bertanggungjawab untuk membukanya semula,” kata Aziz.
Kebenaran golongan wanita dan kanak-kanak perempuan bersekolah serta ke kolej merupakan antara permintaan utama komuniti antarabangsa kepada Taliban sejak mereka mentadbir Afghanistan pada Ogos tahun lalu.
– AGENSI