PolitikSemasa

Kerajaan komited jaga kebajikan anggota APM

Selamat hari ulang tahun Pertahanan Awam ke-69

KAJANG 24 Mac : Jabatan Perdana Menteri komited untuk memartabat peranan dan fungsi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta memastikan kebajikan warganya sentiasa terbela.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelbagai langkah proaktif akan terus diambil bagi meningkatkan keberkesanan perkhidmatan angkatan itu, antaranya memperluas operasi kecemasan dan bencana yang meliputi operasi khas bersepadu merentasi agensi

“Langkah ini bertujuan untuk memerangi pandemik COVID-19, khususnya stesen-stesen atau pusat kuarantin, kawalan sempadan serta menerusi program pemerkasaan komuniti,” – Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika hadir ke majlis Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam Ke-69 – IHSAN Harian Metro

Dalam ucapan beliau pada Majlis Sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam ke-69, beliau berkata dalam memperkukuh peranan APM sebagai benteng pertahanan negara, pembinaan kompleks pejabat dan pusat latihan di Perak, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12.

“Kompleks ini bakal menjadi pusat pemindahan sementara atau ‘temporary shelters’ untuk penduduk yang terkesan akibat bencana dan akan dilengkapi dengan Sistem Amaran Awam. Kerajaan juga melakukan penambahbaikan atau penstrukturan semula jawatan tetap di pejabat negeri dan daerah melalui Sekretariat Pengurusan Bencana. Saya difahamkan kini hanya terdapat 578 orang pegawai yang memegang jawatan tetap, bagi pengurusan bencana di lapangan,” – Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tambah beliau lagi, APM akan terus memainkan peranan untuk meningkatkan persiapan masyarakat setempat dalam menghadapi sebarang bentuk bencana dan kecemasan di peringkat negeri, daerah sehingga ke akar umbi.

“Ini termasuklah turun ke lapangan dengan kerap untuk mendidik atau mengadakan libat urus bagi meningkatkan kesedaran orang ramai. Langkah ini dapat memastikan mereka bersedia bertindak sebagai ‘first-responder’ apabila berdepan dengan situasi cemas seperti bencana atau kebakaran,” – Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin

Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia- IHSAN BH Online

Sepanjang pandemik COVID-19, APM sudah mencurahkan khidmat bakti dan menggalas tanggungjawab yang besar sebagai petugas barisan hadapan dalam membantu usaha kerajaan untuk mencegah penularan wabak ini.

“Saya maklum ramai dalam kalangan warga APM yang sudah dan akan digerakkan, khususnya ke kawasan luar bandar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang kini sedang giat dijalankan. Ini termasuklah membantu masyarakat setempat untuk melakukan pendaftaran vaksin,” – Perdana Menteri / Tan Sri Muhyiddin Yassin.

– BH Online

Oleh Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Kewartawanan Hafeez Anuar

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button