Kemudahan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM Syawal ini Kembali Menyinari Kehidupan Penduduk Kuala Lumpur
KUALA LUMPUR – Keberadaan Mobile Clinic MAIWP-MAPIM telah menjadi sinar harapan dan kemudahan bagi penduduk di PPR Kg Baru, Air Panas, terutama bagi mereka yang berdepan dengan cabaran kesihatan dan mobiliti.
Puan Aminah binti Kasim, 74 tahun, penduduk asal Kedah yang kini menetap bersama anak-anaknya di PPR Kg Baru, Air Panas juga mendapat manfaat dari program ini. Sebagai pengguna kerusi roda yang mengalami masalah lutut, kehadiran klinik bergerak ini memudahkan beliau untuk mendapatkan rawatan tanpa perlu bersusah payah ke pusat kesihatan. “Saya hanya perlu turun dari blok flat saya untuk mendapatkan rawatan. Ini sangat memudahkan saya,” kata Puan Aminah dengan rasa terharu.
Program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM juga menyantuni berbilang bangsa. Antara penerima manfaat adalah Puan Mammegelai a/p A. Kuppusamy, berusia 69 tahun, seorang penduduk yang merasai impak besar dari program ini. Setelah mengalami tragedi kehilangan dua orang anak dalam kemalangan yang sama turut menyebabkan seorang lagi anaknya mengalami kecacatan, kehidupan Puan Mammegelai penuh dengan dugaan. Namun, dengan adanya Mobile Clinic, beliau kini dapat mengakses rawatan kesihatan dengan lebih mudah. “Saya amat bersyukur dengan adanya Mobile Clinic ini, yang saya ketahui melalui kumpulan WhatsApp,” ujar Puan Mammegelai, yang juga mengidap diabetes dan darah tinggi.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga PPR Kg Baru, Air Panas, menambahkan, program Mobile Clinic MAIWP-MAPIM, yang kini memasuki tahun ketiga, terus mendapat sambutan hangat dari komuniti setempat. “Ini adalah tahun ketiga kami menjalankan program ini dan respons dari penduduk sangat positif. Kami berharap dapat terus membawa perubahan yang bermakna kepada kehidupan mereka,” jelas beliau.
Mobile Clinic MAIWP-MAPIM telah membuktikan keberkesanannya dalam menyediakan akses kepada perkhidmatan kesihatan yang penting, terutama di kawasan yang penduduknya memerlukan perhatian lebih dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan.