Keluarga mangsa nahas pesawat China Eastern berkabung
NANNING : Upacara berkabung bagi mengenang mangsa tragedi pesawat China Eastern Airlines yang mengorbankan 132 nyawa diadakan di lokasi nahas pada Ahad petang.
Pasukan penyelamat bertafakur selama tiga minit diiringi dengan gema bunyi hon kedengaran di seluruh kawasan pergunungan di daerah Tengxian, Wilayah Autonomi Guangxi Zhuang di selatan China.
Di samping itu, keluarga mangsa turut sama berkabung.
Pesawat Boeing 737 yang berlepas dari Kunming di barat daya China menuju Guangzhou, terhempas di kawasan pergunungan daerah Tengxian, Guangxi, pada 21 Mac.
Timbalan komander yang juga timbalan ketua Pentadbiran Penerbangan Awam China, Hu Zhenjiang mengumumkan 123 penumpang dan sembilan anak kapal pesawat China Eastern Airlines Penerbangan MU5735 telah terkorban.
“Kami amat sedih dengan kehilangan 132 nyawa dan bersimpati kepada keluarga mangsa,” katanya pada Sabtu.
Sementara itu, lebih 300 ahli keluarga mangsa diberikan kaunseling psikologi setakat tengah hari Ahad.
Pasukan bantuan psikologi terdiri 99 profesional itu juga bertanggungjawab memberi kaunseling kepada anggota penyelamat.
– AGENSI