Kelebihan hari Arafah
Zulhijjah merupakan bulan yang banyak amalan untuk dilakukan bagi meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah SWT.Terdapat beberapa peristiwa penting dan kelebihan yang ada pada bulan Zulhijjah.
Pada 9 Zulhijjah setiap tahun merupakan hari Arafah, hari di mana umat Islam digalakkan untuk menjalankan ibadah puasa sunat atau dinamakan sebagai puasa hari Arafah.
Namun, masih ada dalam kalangan umat Islam belum memahami apakah antara kelebihan yang Allah kurniakan pada hari Arafah ini?
Merujuk pada perkongsian yang dijelaskan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, ada beberapa perkara utama yang menjadi kelebihan pada hari Arafah.
- Hari Arafah merupakan salah satu rukun Haji.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:“Haji adalah Arafah. Sesiapa yang datang di ‘Arafah pada hari Nahr malam sebelum fajar terbit, maka dia dikira melakukan haji.” (Riwayat Al-Tirmizi)Oleh itu, wukuf di padang Arafah merupakan salah satu amalan haji yang penting bagi memperingati peristiwa di mana Nabi Adam AS dan Hawa telah diturunkan dari syurga ke bumi kerana terpedaya dengan tipu daya iblis sekaligus mengingkari perintah Allah SWT. - Hari di mana agama ini telah sempurna
Umar Bin Al-Khattab RA bersabda seorang lelaki telah bertanya kepadanya yang bermaksud:
“Wahai Amir al-Mukminin, satu ayat di dalam kitab kamu (al-Quran) yang kamu membacanya. Jika ia ke atas kami sekalian bangsa Yahudi maka kami akan mengambil hari tersebut sebagai perayaan. Umar bertanya: Apakah ayat itu? Dia berkata: “Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” Umar berkata: Kami telah ketahui hari tersebut dan tempat turun ayat tersebut ke atas Nabi SAW ketika baginda SAW berdiri di Arafah pada hari Jumaat.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim) - Hari Arafah merupakan hari raya umat Islam
Daripada Uqbah bin Amir RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Hari Arafah, hari Korban serta hari-hari Tasyriq (11,12 dan 13 Zulhijjah) adalah hari raya kita orang Islam dan ia adalah hari makan dan minum” (Riwayat Abu Daud) - Merupakan hari penyaksian
Abu Hurairah RA, bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Hari yang dijanjikan adalah hari Kiamat, hari Mayshud adalah hari Arafah serta al-Syahid adalah hari Jumaat.” (Riwayat al-Tirmizi) - Doa di hari Arafah
Daripada Abdullah bin ‘Amr, bahawa baginda SAW bersabda yang bermaksud:
“Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Riwayat al-Tirmizi) - Puasa hari Arafah menghapuskan dosa setahun sebelum dan selepas Rasulullah SAW bersabda apabila bertanya mengenai puasa hari Arafah, hadis itu bermaksud:
“Puasa pada hari tersebut akan menghapuskan dosa setahun yang lalu dan akan datang” (Riwayat Muslim) - Hari keampunan dan pelepasan dari api neraka
Aisyah RA berkata bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:
“Tidak ada satu hari yang lebih banyak dibebaskan hamba-Nya daripada api neraka melainkan pada hari Arafah” (Riwayat Muslim)
Oleh hal yang demikian, hari Arafah adalah hari yang istimewa yang mempunyai pelbagai kelebihan yang boleh kita amalkan untuk terus beribadah kepada Allah SWT.
Justeru itu, kita sebagai umat Islam perlulah merebut peluang ini agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi.