Kebakaran tapak sampah Pulau Burung berjaya dipadamkan sepenuhnya
NIBONG TEBAL : Kebakaran yang berlangsung selama 20 hari di Pulau Burung akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam.
Perkara itu dikongsi oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menerusi laman sosial Facebooknya semalam.
“Alhamdulillah misi memadam kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung disempurnakan sepenuhnya.
“Terima kasih saya ucapkan kepada pasukan #WiraMerah Pulau Pinang serta pelbagai agensi persekutuan dan negeri dalam proses pemadaman kebakaran,” katanya.
Kira-kira 11.3 hektar daripada 16.2 hektar tapak pelupusan sampah tersebut mengalami kebakaran sejak hampir tiga minggu lalu hingga menyebabkan hampir 90 buah keluarga dengan kira-kira 400 penduduk terpaksa dipindahkan selain 10 buah sekolah ditutup selama tiga hari.
Kaedah ‘water bombing’ digunakan dalam usaha memadamkan kebakaran itu yang dikesan pukul 5 petang 12 Januari lalu dengan bantuan dua buah helikopter Unit Udara JBPM Subang dan Pulau Pinang.