DomestikSemasa

12 kesan tembakan, seorang lelaki ditemui mati

BUKIT MERTAJAM: Seorang lelaki ditemui mati dengan kira-kira 12 kesan tembakan di tingkat tiga tempat letak kenderaan sebuah kondominium mewah di Jalan Baru, Perai, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa lelaki warga tempatan berusia 31 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan anggota badannya berlumuran darah.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata polis menjalankan siasatan selepas memperoleh maklumat berhubung insiden berkenaan.

“Ketika di lokasi, polis menemui 12 kelongsong peluru di sekitar mayat mangsa yang dalam keadaan tertiarap dengan berlumuran darah dan siasatan awal mendapati mangsa dipercayai diserang dua suspek bersenjatakan pistol,” katanya di sini, malam tadi.

Beliau berkata, mangsa yang dipercayai menyewa di kondominium itu sejak lima bulan lalu turut mempunyai pelbagai rekod jenayah.

“Polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian ini berpunca daripada dendam, namun siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya.

Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today

Related Articles

Back to top button