Kebakaran hutan di Turki ragut empat nyawa, 180 cedera
ANKARA : Kebakaran hutan yang merebak merentasi wilayah peranginan Mediterranean di pantai selatan Turki telah meragut empat nyawa dan 180 lagi cedera.
Ribuan anggota bomba bertungkus lumus dalam usaha memadamkan api marak, sementara pihak berkuasa jalani siasatan berikutan kecurigaan terhadap kebakaran meletus di empat lokasi di timur Antalya, kelmarin, yang disyaki akibat perbuatan khianat.
Menurut pejabat kecemasan dan bencana Turki, mereka memaklumkan bahawa tiga mangsa, termasuk seorang individu berumur 82 tahun yang tinggal bersendirian turut menjadi mangsa korban dalam kejadian berkenaan.
Media Turki kemudian melaporkan seorang lelaki berusia 25 tahun, maut di Marmaris ketika cuba memberikan bantuan.
Sebelum ini, kebakaran awal dilaporkan tercetus di sebuah pusat peranginan terkenal, khususnya dalam kalangan pelancong Russia dan Eropah Timur yang lain, terletak kira-kira 75 kilometer timur Antalya.
Namun, api terus marak sehingga merebak menghampiri kawasan pantai yang dipenuhi hotel dan resort dengan bahang suhu mencecah hampir 40 darjah Celsius dan angin berkelajuan 50km sejam.
Setakat ini, sekurang-kurang 183 mangsa dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian, Bekir Pakdemirli, berkata sebuah hotel berhampiran bandar pelancongan, Bodrum yang terletak kira-kira 300km barat Antalya, turut dikosongkan ketika kebakaran baharu meletus merentasi pantai selatan.
Lebih 4,000 anggota bomba dikerahkan ke seluruh wilayah terbabit bagi membantu operasi memadamkan kebakaran berkenaan dan menyelamatkan mangsa.
– Agensi
Diterjemah oleh Hafeez Anuar