Semasa

Keadaan air pasang besar di kawasan persisiran pantai Selangor masih terkawal

SHAH ALAM : Fenomena air pasang besar yang melanda di kawasan pesisiran pantai Selangor masih dalam keadaan terkawal walaupun berlaku sedikit limpahan air di beberapa kawasan.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, antara kawasan yang terlibat adalah Pantai Remis Kuala Selangor, Jeti Pelabuhan Klang, Jeti Pulau Indah dan Telok Gong, Pelabuhan Klang; Jeti Tok Muda, Kapar selain Bagan Sungai Lang, Bagan Parit Baru, Bagan Nahkoda Omar, Bagan Sekinchan dan Pantai Batu 3 di Sabak Bernam.

Tambahnya, lima daerah yang turut terbabit dalam fenomena air pasang besar iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kuala Langat, Klang dan Sepang dijangka berterusan dengan mencatatkan bacaan setinggi 5.6 meter.

“Kami menasihatkan orang awam terutamanya yang tinggal di kawasan berkenaan agar mengambil maklum tentang tarikh yang dijangka berlakunya fenomena tersebut dan segera berpindah ke rumah saudara mara terdekat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Kuala Langat (MPKL) Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata anggotanya telah digerakkan bagi melakukan pemantauan di beberapa kawasan yang dikenal pasti mengalami limpahan air laut.

Beliau berkata kawasan di bawah pemantauan MPKL adalah Pantai Kelanang, Pantai Baru Morib, Pantai Morib, Taman Harmoni Morib, Istana Bahagia Morib, Pantai Batu Laut, Pantai Chunang dan Jeti Tanjung Sepat.

“Berdasarkan jadual air pasang surut, daerah ini dijangka mengalami paras air tertinggi pada esok hingga 9 Okt dengan ketinggian 5.6 meter sekitar 6.30 pagi hingga 7.40 pagi. Manakala pada 10 Okt menunjukkan penurunan dengan paras air tertinggi hanya 5.4 meter pada 8.13 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, MPKL akan menutup kawasan peranginan di pantai dan kemudahan-kemudahan awam seperti medan selera dan kiosk, selain orang ramai dinasihatkan agar tidak mendekati atau memasuki serta menjalankan aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dan kawasan yang terlibat.

-BERNAMA

Disunting oleh Hafeez Anuar

 

Related Articles

Back to top button