KepenggunaanSemasa

KDN rampas Al-Quran, bahan cetak bernilai RM160,000

BUTTERWORTH: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 1,907 naskhah Al-Quran dan 2,060 bahan bacaan bercetak mengandungi ayat daripada kitab suci itu bernilai RM160,000 dalam Ops Mulia di Bukit Mertajam setakat Januari lalu.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (KDN) Nik Yusaimi Yussof berkata kesemua Al-Quran dan bahan bacaan itu dirampas kerana tidak mendapat kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesenan Al-Quran (LPPPQ) KDN.

Pihak kami telah menjalankan risikan sejak Oktober 2022 sebelum menyerbu sebuah rumah pangsa di Taman Alma, Bukit Mertajam, 9 Jan lepas dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 40-an yang dipercayai penjual Al-Quran serta bahan cetak tersebut.

Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (KDN), Nik Yusaimi Yussof

“Hasil siasatan dijalankan, kami mendapati rumah itu disewa sejak tahun lalu dan kesemua naskhah serta bahan bacaan Al-Quran itu diedar serta dijual oleh lelaki tersebut sebagai sumber pendapatan utama,” katanya pada sidang media hari ini.

Tambahnya lagi, pemeriksaan pihaknya dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mendapati Al-Quran yang dirampas itu tidak mengikut resam Uthmani yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Nik Yusaimi berkata kesemua naskhah Al-Quran dan bahan bacaan itu dipercayai dibawa masuk dari Indonesia sebelum dijual menerusi platform dalam talian, kedai-kedai buku, diinfak dan diedarkan di seluruh negara.

Katanya Al-Quran yang dirampas itu turut dibimbangi mengandungi kesalahan yang boleh menyebabkan kesilapan bacaan dan maksud yang tidak tepat.

“Al-Quran ini ada kandungannya yang turut dieja dalam tulisan rumi, Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini sudah mengharamkan sebarang ejaan ayat suci Al-Quran dalam tulisan rumi,” katanya sambil menjelaskan kes ini disiasat di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Quran (APTQ) 1986 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat 912 jenis terbitan al-Quran yang telah diluluskan KDN sebagai pilihan sama ada untuk dijual, dimiliki ataupun diedar dalam kalangan masyarakat.

Justeru, pihaknya menyeru masyarakat agar tidak memilih nashkah Al-Quran yang tiada kelulusan dengan menyemak perakuan dan hologram KDN pada kitab itu.

“Masyarakat umum diseru agar tidak memilih naskhah al-Quran yang tidak mendapat kelulusan dengan menyemak perakuan hologram KDN pada al-Quran terbabit… amalan membaca al-Quran tanpa semakan dan kelulusan dikhuatiri akan mengelirukan masyarakat berkaitan sebutan bacaan dan maksud yg tidak tepat kerana tidak melalui proses semakan dan ditentu sahkan betul oleh pakar,” tegas beliau.

BACA JUGA
Provokasi bakar Al-Quran, gabungan 30 NGO serah nota bantahan

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button