Kayakan rohani dengan Al-Quran biarpun jasad tak berupaya
MAPIM Malaysia dan Masjid Al Hasanah santuni insan kelainan upaya

BANGI : “Dia tak kuat sangat nak berjalan sendiri atau bergerak. Tapi tak pernah tinggal mengaji atau solat.”
Itu ayat yang dilontarkan si ibu saat menceritakan keistimewaan anak sulungnya.
Arbaniah Sahari yang kini berusia 63 tahun bersama pasangannya Hishammudin Abdullah, 67 membesarkan lima orang cahaya mata termasuk seorang anak istimewa Wan Mohd Ikmal, 29 yang menghidapi komplikasi cecair dalam otak sejak awal kelahiran beliau.
Riak wajah anak istimewa, Ikmal sungguh tenang namun hanya Allah yang tahu betapa kuatnya beliau menanggung kesakitan yang dialami.
Anak sulung daripada lima adik beradik itu tidak berdaya berjalan mahupun bergerak sendiri. Setiap langkahnya terbatas dan bergantung pada kerusi roda atau tongkat untuk ke sana sini.
Arbaniah berkongsi kisah beberapa tahun sebelum itu Ikmal ke hospital bagi memasukkan besi ke dalam kakinya ekoran jatuh di dalam bilik air.
Sehingga hari ini, beliau mengharapkan bantuan ibu bapa dan adik beradik yang lain untuk bergerak.
Biarpun diuji sedemikian rupa, semangat Ikmal tidak pernah pudar. Beliau percaya ini semua ujian daripada Sang Pencipta.
Lebih mengagumkan, Ikmal turut menceritakan bahawa dirinya sudah banyak kali berjaya khatam Al-Quran. Subhan-Allah!
“Bila ada masa lapang, saya mengaji. Saya dah banyak kali khatam Al-Quran,” katanya dengan penuh gembira.
“Ikmal selalu bangun awal. Walaupun kami tak bangun lagi tapi dia dah bangun dulu sebab nak sembahyang dan mengaji.” kongsi Arbaniah.
Pada masa yang sama, Ikmal kini sedang menjalani rawatan fisioterapi di Hopsital Kajang.
Keluarga kecil ini menyewa di Flat Seri Tanjung dengan bayaran bulanan sebanyak RM550.
Ketika ditemu bual UmmahToday, Hishammuddin dahulunya bekerja di sebuah hotel terkemuka, tetapi sejak Mei lalu, beliau diberhentikan akibat daripada kegawatan ekonomi pandemik ini.
Sekiranya difikirkan amat sukar untuk seorang ketua keluarga menampung perbelanjaan keluarga tanpa punca pendapatan yang kukuh.
Tetapi berbeza buat keluarga Hishammuddin ini, mereka seolah-olah tidak ada masalah dan masih mampu tersenyum lebar menyambut kedatangan MAPIM Malaysia.
Semalam, Masjid Al-Hasanah bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) turun padang memberi 100 bantuan pek makanan kepada asnaf di kawasan sekitar yang diketuai Setiausaha Agung MAPIM Malaysia, Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol dan Pengerusi Program Bantuan Asnaf Masjid Al-Hasanah, Mohd Johaary Abdul Hamid.
Menurut Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol :
Alhamdulilah hari ini MAPIM Malaysia bersama Masjid Al-Hasanah dan kolaborasi beberapa badan bukan kerajaan (NGO) lain, turun padang menyantuni warga Bangi yang terkesan dengan Covid-19. Hari ini juga MAPIM Malaysia pecah kepada beberapa kumpulan memberi bantuan keperluan asas pada hampir 600 keluarga di sekitar Bangi dan kawasan luarnya.” – Mejar Bersekutu (PA) Zulhanis Zainol
Semua bantuan yang dihulurkan oleh MAPIM Malaysia adalah hasil sumbangan yang diberikan oleh rakyat Malaysia sendiri. MAPIM Malaysia berharap akan lebih ramai lagi yang dapat disantuni dan merayu rakyat Malaysia untuk terus menyumbang bagi membantu ummah.
Oleh Nurshazlin Shahrom
_______________________________________________________
AYUH KITA LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB BERSAMA UNTUK NEGARA
MAPIM Malaysia dengan rendah hati merayu orang ramai untuk menghulurkan sumbangan kepada saudara kita yang diuji dengan kesusahan dalam negara lanjutan lock down dan covid-19. Ramai hilang pekerjaan dan dibebani dengan ujian
Sumbangan infaq boleh disalurkan menerusi
Akaun Maybank
562263540066
TABUNG KEMANUSIAAN MAPIM
HOTLINE MAPIM MALAYSIA
jika ada keluarga dan jiran yang sangat sangat terdesak seperti diatas, mohon maklumkan pada MAPIM Malaysia menerusi whatapps 0128002016 atau hotline 1300-888-038