Semasa

Kaunter “drive-thru mudahkan urusan perbaharui lesen

SEBERANG PERAI : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang membuka kaunter pandu lalu di pekarangan Ibu Pejabat JPJ di Seberang Jaya bagi memudahkan orang ramai memperbaharui lesen memandu susulan tarikh penamatan moratorium semakin hampir.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, kaunter pandu lalu yang beroperasi sehingga 30 September itu bakal melicinkan urusan pelanggan yang ingin memperbaharui lesen memandu (LMM) dan lesen kenderaan motor (LKM) persendirian.

“Pelanggan hanya perlu menunggu dalam kenderaan masing-masing dan langkah ini dapat mengurangkan kontak fizikal sekali gus mengelakkan kesesakan semasa mendaftar masuk untuk berurusan di kaunter.

“Kaunter pandu lalu ini beroperasi dari Isnin sehingga Khamis bermula pukul 8.30 pagi hingga 12.30 tengahari manakala bagi hari Jumaat, operasi bermula dari pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berharap orang ramai akan melunaskan bayaran saman JPJ tertunggak menerusi tawaran diskaun 70 peratus bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-64.

“Setakat ini, hampir 100,000 saman aktif yang masih belum dijelaskan dan diharapkan orang ramai rebutlah peluang ini untuk melunaskan saman yang tertunggak.

“Walau bagaimanapun, pesalah lalu lintas yang telah disenaraihitam dikehendaki hadir semula ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi tujuan proses dokumentasi semula, sebelum sebarang urusan pembayaran dapat dilakukan,” katanya.

– K! ONLINE

Oleh Hafeez Anuar

Related Articles

Back to top button