PUTRAJAYA : Dakwaan berkenaan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang didakwa terkena jangkitan cacar monyet baru-baru ini adalah tidak benar, sebaliknya dia dijangkiti penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD) virus jenis Coxsackie A6.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan perkara itu menerusi hasil ujian sampel yang dilakukan terhadap kanak-kanak tersebut.
Terdahulu, menurutnya, kanak-kanak berkenaan dibawa ke Klinik Kesihatan Batu 14, Selangor, untuk pemeriksaan kerana mengalami gejala demam sejak 13 Mei lalu.
“Tiga hari selepas mengalami demam, timbul ruam yang kemudian menjadi ‘blister’ (19 Mei) dan mula pecah pada 21 Mei lalu.
“Kanak-kanak itu dipantau di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Dua sampel diambil dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan membuat pengujian untuk beberapa jenis virus, termasuk HFMD dan cacar monyet.
“Keputusan ujian mengesahkan HFMD positif virus Coxsackie A6 dan negatif penyakit Monkeypox (cacar monyet) serta lain-lain virus yang diuji,” katanya dalam ciapan melalui Twitter beliau, hari ini.
Sebelum ini, KKM dilapor memaklumkan tiada menerima sebarang notifikasi berhubung jangkitan cacar monyet di negara ini.
Ia susulan tular tangkap layar yang mendakwa bahawa penyakit itu sudah merebak ke Malaysia, dengan menunjukkan gambar seorang kanak-kanak mengalami gejala seakan-akan penyakit cacar monyet pada bahagian tangannya.