Semasa

Kanak-kanak pecah tabung sumbang van jenazah

kanak-kanak yang kelihatan biasa tapi amat istimewa

KUALA LUMPUR : “Nak tolong orang susah, tak suka tengok orang susah,” itu kata Muhammad Afizal Nor Afizan, seorang penyumbang cilik dari Petaling Jaya.

Muhammad Afizal Nor Afizan atau dikenali sebagai Afi yang  berumur 9 tahun telah memecahkan tabung nya kepada tabung sumbangan van jenazah.

Pada Selasa, beliau menyampaikan hasrat kepada bapanya yang juga ahli perniagaan Nor Afizan Ayub, 35, untuk turut sama menyumbang, membeli sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Starex untuk dijadikan van jenazah wakaf Amal Valley.

Untuk itu, Afi telah memecahkan tabung simpanannya untuk membeli MPV yang akan diwakafkan sebagai van jenazah Amal Valley, yang juga badan bukan kerajaan (NGO) yang memberikan khidmat pengurusan jenazah secara percuma.

Sekali pandang, Afi kelihatan seperti anak-anak biasa tetapi ketika mendengar cerita bapanya, ternyata anak sulung daripada dua beradik itu amat istimewa.

Nor Afizan berkata beliau berkongsi cerita anaknya bukannya untuk menunjuk-nunjuk, tetapi ingin membuktikan bahawa umur tidak seharusnya menjadi penghalang untuk seseorang itu membuat kebaikan.

Presiden Amal Valley Dr Azfar Hussin, yang menerima sumbangan van jenazah bagi pihak Amal Valley berkata, van jenazah wakaf bernilai RM60,000 yang sebahagiannya hasil sumbangan Afi itu, merupakan van jenazah ke-15 di bawah kendalian Amal Valley.

Beliau turut menyifatkan sumbangan itu sebagai istimewa, kerana penyumbangnya baru berusia sembilan tahun tetapi sudah mahu mengikuti jejak bapanya sebagai penyumbang dan sukarelawan, bagi membantu golongan memerlukan.

“Dia (Afi) bukan saja mendengar cerita ayahnya bekerja sebagai sukarelawan tetapi berada di dalam, melihat dan membantu, menguruskan jenazah.

“Anak ini tak takut, seterusnya bila dia memberi dia pecah tabung sendiri itu yang kita nampak, elemen itu menyentuh hati kami sebagai sukarelawan. Sebenarnya apa kita buat bukan untuk orang lain, tetapi kembali kepada kita sendiri,” kata Dr Azfar.

Sebelum mengakhiri sesi temubual dengan Afi, penulis bertanya apakah cita-cita beliau apabila dewasa kelak, Afi menjawab, ‘perdana menteri’. -BERNAMA

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button