Kanak-kanak Jual Cendawan Raih Simpati Ramai
Johor Bahru: Bulan lepas tular sebuah video seorang budak 12 tahun menjual cendawan di Masai Johor. Video yang dimuatnaik di TikTok mendapat lebih 8.2 juta tontonan.
Terkini hasil daripada siasatan yang dibuat oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut melakukan aktiviti tersebut bagi membantu meringankan beban penjaganya.
“Kanak-kanak tersebut didapati melakukan aktiviti jualan atas kerelaannya sendiri tanpa sebarang paksaan dari keluarga atau mana-mana pihak.”
Kanak-kanak berusia 12 tahun tersebut masih lagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Cahaya Baru Masai. Dia tinggal bersama penjaganya yang kurang berkemampuan berusia 60-an di Felda Cahaya Baru Masai.
Menurut jurucakap JKM, kanak-kanak tersebut menjual cendawan tiram pada hari Rabu hingga Sabtu bermula pada jam 2 petang. Difahamkan dia akan berjalan sehingga dua kilometer.
Hasil daripada jualan tersebut akan diserahkan kepada penjaganya demi membantu mereka.
Pihak JKM mengesahkan bahawa kanak-kanak itu dijaga oleh penjaganya dengan kebenaran ibu kandungnya, namun tiada dokumen yang sah. Pihaknya telah mencadangkan agar penjaga kanak-kanak tersebut itu memohon dokumen penjagaan yang sah.
Selain itu, JKM mengingatkan penjaga untuk memantau kanak-kanak dari segi keselamatan dan memantau pergerakannya bagi mengelakkan dia dieksploitasi bagi tujuan tertentu – HM
Oleh Khairulanwar Dahlan – Wartawan Pelatih Ummah Today