Kakitangan McDonald’s La Mesa berhenti serentak tanda boikot
SACRAMENTO : Semua kakitangan sebuah cawangan Mcdonald’s di La Mesa, di Californa bertindak berhenti kerja secara serentak sebagai tanda boikot terhada pengurusan restoran makanan segera itu.
Perkara itu dikongsikan menerusi seorang pemilik akaun TikTok apabila dia menunjukkan suasana cawangan McDonald’s itu yang lengang tanpa pekerja.
Menurut Zoey, mereka berbuat sedemikian kerana pihak pengurusan tidak memenuhi permintaan kenaikan gaji ketika berdepan pandemik Covid-19.
Selain itu, katanya, pihak pengurusan juga tidak pernah mengendahkan masalah yang dikemukakan di tempat kerja.
Bagaimanapun, wakil pengurusan McDonald’s berkata, klip video yang mendapat sebanyak 10.5 juta jumlah tontonan itu hanyalah disebabkan salah faham.
“Hanya dua pekerja yang menghantar surat berhenti kerja, manakala yang lain meneruskan syif mereka seperti biasa.”
“Operasi restoran cawangan berkenaan diteruskan seperti biasa dan kakitangan yang masih bekerja tidak meninggalkan stesen masing-masing,” kata wakil itu.
Susulan itu, Zoey dalam satu video berasingan, menjelaskan tindakan yang memaparkan kononnya mereka berhenti beramai-ramai adalah sekadar solidariti buat dirinya yang berhenti kerja kerana tidak tahan dengan tekanan di restoran berkenaan.
Oleh : NurFaisal Hakim – Pelatih Fakulti Filem, Teater, dan Animasi UiTM / AJ