KemanusiaanSemasa

#JusticeforBella : Bella dipaksa makan 80 cili padi seminggu

Oleh: Izz Nazaruddin, wartawan pelatih

KUALA LUMPUR : Perbicaraan mahkamah berkenaan kes penderaan Bella, 13, seorang kanak-kanak kurang upaya, mula memasuki babak baru.

Menurut saksi pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood, 18, mengatakan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali telah memberikan makanan basi dan mentah kepada Bella.

“Semasa bulan puasa, Siti Bainun telah balik waktu malam dan mengetahui Bella telah makan senyap-senyap.

“Siti Bainun menyuruh Bella untuk habiskan satu periuk nasi yang dicurahkan dengan cuka, kunyit, garam, kicap, cili dan taburan cili (chili flake),” katanya semasa sesi pemeriksaan balas oleh peguam Siti Banun, Asiah Jalil.

Tambah Yasmin, Siti Bainun juga mengarahkannya memasak lima ketul ayam basi dan menyuruh Bella memakannya.

Siti Bainun juga memaksa Bella memakan 20 biji cili padi dan mengarahkan seorang lagi penghuni, Aida untuk mengira bilangan cili.

Melalui pemeriksaan balas oleh peguam tertuduh, Farhan Maaruf, mendedahkan perbuatan itu dilakukan hampir setiap hari.

Farhan: Awak setuju ia berlaku empat kali seminggu?

Yasmin: Baik

Farhan: Jika Bella telah makan 80 cili seminggu, bukankah sepatutnya mulut Bella akan bengkak atau merah?

Yasmin: Mulutnya merah.

Farhan: Semasa sesi prosiding semalam, awak mengatakan Bella didera setiap hari untuk empat bulan. Jika dikira lebih kurang 1280 biji cili telah dimakan Bella, bukankah sepatutnya mulut Bella akan bengkak?

Yasmin: Bella makan dan keluarkan balik.

Menurut saksi juga, Bella akan ditendang di perut jika tidak mengikut arahan.

“Bila Bella tidak mendengar arahan dan tidak makan (cili), Siti Bainun akan ugutnya untuk simbah air panas.

“Siti Bainun akan mengarahkan kami untuk memegang Bella dan paksanya melutut kemudian menendang Bella,” kata saksi.

Perbicaraan ke penderaan Bella ini telah mendapat perhatian rakyat Malaysia

Antara yang turut prihatin adalah, Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Malaysia, (Dr.) Sani Araby Al-Kahery yang turut sama menyokong pergerakan Justice For Bella kenyataan dalam melalui akaun Facebooknya.

(Dr.) Sani yang mempunyai pengalaman dalam membangunkan Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di Seberang Jaya, Pulau Pinang bersama anak-anak istimewa berkata,

“Bukan mudah, namun segalanya kami berjaya laksanakan sebagi satu pasukan untuk kebajikan anak-anak istimewa. Banyak kisah susah senang menjadi kenangan.”

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menambah,
“Sungguh geram mengikuti perkembangan kes penderaan Bella yang saban hari membuka banyak kisah duka remaja istimewa ini didera dengan pelbagai cara. Sudah hilangkah rasa kemanusiaan.”

(Dr.) Sani turut mendoakan agar perbicaraan kes Bella diadili sebaik mungkin dan menyeru Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memperketatkan lesen pembukaan pusat jagaan kanak-kanak.

Adli Effendy

Editor & News Anchor for Ummah Today

Related Articles

Back to top button