KOTA KINABALU : Jumlah mangsa banjir di beberapa daerah Sabah yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) melepasi angka 3,000.
Setakat jam 8 pagi tadi, seramai 3,385 mangsa melibatkan 1,329 keluarga masih ditempatkan di 30 PPS.
Terdapat sedikit peningkatan yang ditunjukkan berbanding 3,365 mangsa membabitkan 1, 331 keluarga setakat jam 9 malam tadi.
Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah berkata, masih ada enam daerah yang dilanda banjir iaitu Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Telupid dan Paitan.
Beliau berkata, Kota Marudu mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi seramai 2,668 orang daripada 1,120 keluarga yang dipindahkan di 14 PPS berasingan.
“Selain itu, seramai 319 mangsa daripada 120 keluarga ditempatkan di empat PPS di Pitas.
“Manakala di Telupid, tujuh PPS dibuka membabitkan 216 mangsa daripada 49 keluarga, dan Paitan 99 mangsa daripada 23 keluarga yang dipindahkan ke tiga PPS berasingan.
“Sandakan pula seramai 45 mangsa daripada tujuh keluarga yang dipindahkan ke sebuah PPS,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, daerah Beluran juga terjejas dan mencatat 38 mangsa daripada 10 keluarga yang kini berada di satu PPS.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today