Semasa

Jenazah Rayan dikebumikan hari ini

RABAT : Maghribi membuat persiapan untuk mengebumikan ‘Rayan kecil’, seorang kanak-kanak berusia lima tahun yang meninggal dunia ketika terperangkap dalam perigi selama beberapa hari di sebalik misi menyelamat yang menarik perhatian dunia.

Selepas terjatuh ke dalam perigi sempit sedalam 32 meter pada Selasa minggu lalu, situasi budak lelaki itu menarik perhatian seluruh dunia.

Menurut seorang pegawai tempatan dan waris mangsa, pengebumian akan diadakan di kampungnya Ighrane, yang terletak di kawasan pergunungan Rif di utara Maghribi, tempat tragedi itu berlaku.

Berita kematian Rayan diumumkan oleh kabinet diraja Maghribi selepas Raja Mohammed VI menelefon ibu bapa mangsa untuk mengucapkan takziah.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada Raja Mohammed, kerajaan, dan semua orang yang telah membantu kami.”

“Semoga roh anak kami dicucuri rahmat, “ kata bapa Rayan, Khaled Aourram kelmarin.

Mayat Rayan telah dibawa ke hospital tentera di Rabat sebelum ini, menurut sepupu keluarga, namun tiada bedah siasat telah dilaporkan.

-AGENSI

Related Articles

Back to top button