PendidikanSemasa

Pemeriksaan haid cabul kehormatan anak gadis!

Hormat privasi pelajar wanita

KUALA LUMPUR : Rata-rata pelajar wanita kini bangkit bersuara di laman sosial Twitter bagi mengetengahkan isu mengenai pemeriksaan tuala wanita di sekolah-sekolah menengah di Malaysia.

Difahamkan, kegiatan ini dilakukan oleh guru atau warden sekolah berasrama penuh itu sendiri untuk memastikan tidak ada penipuan dalam menjalankan ibadah berpuasa atau menunaikan solat secara berjemaah dalam kalangan pelajar wanita.

Walau bagaimanapun, niat yang mulia itu tidak menjadi tiket untuk guru atau pihak penjaga asrama untuk mencabuli privasi anak gadis dengan memaksa pelajar membuktikan beliau sedang datang bulan. Perbuatan seperti meminta pelajar menunjukkan darah pada tuala wanita, melakukan calitan dengan menggunakan kapas, tisu mahupun jari mereka untuk mendapatkan bukti bahawa anak gadis itu tidak boleh melakukan ibadah kerana haid.

Lebih teruk, ada yang diraba secara langsung di tempat tersembunyi untuk memastikan pelajar itu memakai tuala wanita atau tidak.

Merujuk pada luahan  di laman Twitter, beberapa bekas pelajar wanita yang menduduki asrama penuh, meluahkan pengalaman berhadapan dengan situasi yang melampau ini.

Perbualan mangsa. Sumber : Twitter @FaezNajmuddin

“Barisan pertama penjaga asrama melakukan semakan,”

“Barisan kedua Lembaga Disiplin Pelajar (LDP) yang menyemak,”

“Saya sangat takut kerana ketika itu saya masih dalam pendarahan yang banyak. Saya tidak akan tunjuk darah saya kepada penjaga asrama,”

“Saya beralih ke barisan kedua dimana LDP yang memeriksa,”

“Saya merayu agar mereka hanya mencalit menggunakan kapas daripada melihat terus ke tuala wanita kami,”

“Saya bersyukur dia bersetuju,”

“Saya juga kasihan pada LDP kerana terpaksa melakukan pemeriksaan itu.”

Jelas kelitahan dari paparan perbualan itu bekas pelajar wanita ini masih dalam keadaan terkejut dengan tindakan pihak guru, penjaga asrama dan pengawas yang melakukan pemeriksaan semberono itu.

Pada usia para gadis menginjak ke usia dewasa mereka berhadapan dengan gangguan seksual tanpa mereka sedari. Keji dan jijik tindakan para pendidik dan penjaga yang sepatutnya melindungi anak gadis, tetapi mereka yang mencabuli kehormatan mereka.

Bukan itu sahaja, selain pemeriksaan datang bulan, denda yang dilakukan oleh pihak warden asrama terhadap pelajar wanita juga melampaui batas.

Alia (bukan nama sebenar), menceritakan pengalaman beliau ketika berusia seawal 13 tahun di sekolah berasrama penuh, berhadapan dengan situasi dimana penjaga asrama mendenda pelajar puteri dengan memaksa setiap daripada mereka memegang tuala wanita yang masih berdarah dengan menggunakan alasan denda akibat tidak membuang tuala wanita dengan cermat.

Mungkin pada kita perkara sebegini tampak remeh, tetapi bagi gadis berusia 13 tahun, yang baru sahaja tinggal berasingan dengan ibu bapa, pengalaman hitam sebegini membawa kesan kepada dirinya seumur hid

Pakar obstetrik dan ginekologi dan Pendidikan Perubatan (Pengajaran Klinikal) dari Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Harlina Halizah Siraj  di laman Facebook beliau berkata tindakan sedemikian dianggap mencabuli privasi pelajar.

“Sebagai pakar obstetrik dan pakar sakit puan, saya percaya seorang perempuan muda tidak harus membuktikan yang dia mengalaminya (kedatangan haid),” kata Dr Harlina

Sementara itu, beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), seperti All Women Action Society (AWAM), Sisters In Islam (SIS) dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN: Girls), lantang menuntut pihak Kementerian Pendidikan (KPM) bangkit menangani isu gangguan seksual, kecaman terhadap tubuh badan dan sentuhan tanpa rela terhadap fizikal pelajar.

Justeru, ada sesetengah pihak beranggapan perbuatan itu dilakukan dengan alasan tindakan disiplin terhadap para pelajar, namun, meraba dan menyentuh mana-mana bahagian tubuh badan tanpa kerelaan pelajar itu sendiri sudah dikira sebagai mencabuli privasi mereka.

Sumber : Twitter

Dalam pada itu, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), juga mencela tindakan salah guna kuasa pihak warden asrama dan guru dengan melakukan pemeriksaan haid sebegini.

Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, beliau memandang serius perkara itu dan perkara itu tidak sewajarnya berlaku, justeru siasatan akan dijalankan bagi memastikan perkara itu tidak berulang.

“Perkara ini tak wajar dan tak sepatutnya berlaku di sekolah, jadi saya pandang serius, saya akan buat susulan dengan kementerian berkaitan seperti Kementerian Pendidikan dan MARA supaya perkara ini tak terjadi lagi. Ia amat mengejutkan, tidak boleh diterima pun pada akal fikiran kita,”- Datuk Seri Rina Mohd Harun

Difahamkan, pemeriksaan haid seperti ini giat dijalankan di beberapa sekolah berasrama penuh dan juga sekolah menengah harian.

Kalau bukan para guru dan warden asrama yang dapat melindungi anak-anak gadis kita, siapa lagi yang boleh kita percaya untuk menyantuni dan menjaga kehormatan para wanita di luar sana?

Sama-sama lindungi dan bangkit mempertahankan hak privasi wanita di Malaysia.

Oleh : Pelatih Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (Penyiaran) – Nurshazlin Shahrom

Related Articles

Back to top button